Tubuh Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Berhad rancak ekonomi

Ahmad Zakiyuddin (kiri) pada sidang media selepas merasmikan majlis pembukaan mesyuarat agung KKPPSB.
Ahmad Zakiyuddin (kiri) pada sidang media selepas merasmikan majlis pembukaan mesyuarat agung KKPPSB.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan penubuhan sebuah koperasi baharu yang akan memberi manfaat kepada nelayan, penduduk dan komuniti perniagaan setempat di Pulau Pinang Selatan.

Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Berhad (KKPPSB) ditubuhkan di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR).

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, penubuhan KKPPSB adalah wajar kerana projek pembangunan PSR akan merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar projek.

“KKPPSB akan memainkan peranan yang besar dalam merealisasikan manfaat SIMP seperti pembinaan jeti nelayan, peluang pekerjaan dan perniagaan, sokongan keusahawanan dan sebagainya.

“Banyak peluang perniagaan akan diwujudkan seperti pembekalan barangan dan perkhidmatan yang menyokong pembangunan PSR, aktiviti perikanan rekreasi dan agropelancongan yang akan membawa pendapatan bagus untuk masyarakat setempat,” katanya ketika merasmikan majlis pembukaan mesyuarat agung KKPPSB di sini pada Khamis.

Ahmad Zakiyuddin berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan modal sebanyak RM5 juta untuk membolehkan KKPPSB memulakan beberapa aktiviti perniagaan sebagai permulaan.

Katanya, antara aktiviti dijalankan termasuk pemasaran hasil laut yang akan dibeli daripada nelayan, perkhidmatan pengangkutan bot untuk pekerja pembinaan PSR dan pembinaan serta pengurusan jeti nelayan bakal dibina di bawah skim SIMP.

Katanya, pada masa depan, KKPPSB juga akan menjalankan aktiviti lain seperti melabuh unjam dan tukun tiruan, mengusahakan hatcheri benih ikan dan udang, menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, membekalkan makanan dan menyediakan pengangkutan bas atau van untuk pekerja pembinaan.

Artikel Berkaitan:

"Koperasi ini juga bercadang untuk menceburi perniagaan pasar raya mini, restoran dan kafe dalam bentuk kabin kiosk; membekalkan ais kepada nelayan dan perniagaan sekitar, dan menguruskan stesen petrol serta perniagaan hasil laut kering.

"KKPPSB juga boleh mengusahakan perkhidmatan bot penumpang untuk aktiviti pelancongan termasuk agropelancongan seperti perikanan rekreasi," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin berkata KKPPSB akan menguruskan jeti perikanan rekreasi di Sungai Kluang pada masa depan.

Katanya, jeti sedia ada yang terlibat dalam pembinaan komponen Pan Island Link 1 akan digantikan dengan jeti moden.

“Pihak koperasi juga akan diberi pemilikan aset di PSR selaras dengan jaminan kerajaan negeri bahawa pembangunan ini tidak akan meminggirkan komuniti setempat.

“Selain dividen, ahli koperasi akan menikmati pelbagai faedah lain seperti peluang perniagaan dan pekerjaan, dan khairat kematian ahli,” katanya.