Suri rumah rugi RM57,508 terpedaya tawaran kerja dalam talian

 Elias Omar
Elias Omar
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang suri rumah kerugian RM57,508.73 selepas terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan komisen lumayan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, wanita berusia 24 tahun itu pada mulanya mendapat tahu mengenai tawaran kerja kosong terbabit selepas melayari Facebook.

Menurutnya, iklan pekerjaan itu telah dipaut ke platform membeli-belah dalam talian menyebabkan mangsa percaya dengan tawaran kerja terbabit.

"Mangsa telah menekan 'link' tersedia sehingga membawa kepada satu kumpulan WhatsApps pekerjaan sambilan.

"Mangsa kemudian diminta menghubungi pihak perkhidmatan pelanggan dan seterusnya disambungkan kepada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Adam," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Elias, mangsa telah diberikan beberapa tugas bagi membolehkan dia menerima upah dengan komisen tinggi iaitu diminta membeli barangan yang diarahkan di platform beli-belah tersebut.

"Dia kemudian telah melaksanakan tugas berkenaan dengan membuat pembelian dan bayaran kepada 13 akaun berbeza berjumlah RM57,508.73.

"Dia akhirnya menyedari terpedaya setelah terus diminta membuat bayaran sedangkan tiada satu pun komisen diterima selepas tugas dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Alor Setar pada Selasa," katanya.

Elias berkata, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pekerjaan melalui dalam talian.

"Jangan mudah percaya dan elakkan membuat sebarang pindahan wang kepada individu tidak dikenali," katanya.