Hanya satu SOP dikuat kuasa untuk fasa endemik

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat kini hanya perlu mematuhi satu prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikuatkuasakan di bawah Akta 342 dengan merangkumi 10 keperluan sebaik negara beralih ke fasa endemik pada 1 April depan.

Sepuluh keperluan itu adalah memakai pelitup muka ketika di tempat awam; waktu operasi mengikut lesen atau permit; menjaga kebersihan tangan dan melakukan ujian pengesanan Covid-19 serta menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu menggunakan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan; penjarakan fizikal satu meter; pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik; kebersihan premis serta mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu.

Pengerusi Menteri Kuartet Covid-19, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, secara asasnya satu SOP di Fasa Peralihan Ke Endemik itu telah dipermudahkan daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Selain satu SOP, sembilan garis panduan juga telah dibangunkan bagi membantu rakyat membuat pilihan lebih selamat ketika menjalankan aktiviti harian.

“Penting untuk saya maklumkan, sembilan garis panduan ini tidak akan dikuatkuasakan.

“Sebaliknya, ia menjadi panduan yang amat digalakkan untuk dipatuhi supaya rakyat dapat kekal berwaspada dengan risiko jangkitan Covid-19 apabila melakukan aktiviti tertentu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sembilan garis panduan itu merangkumi pengangkutan dan perjalanan; pendidikan dan penjagaan; aktiviti peruncitan, makanan dan minuman; ruang kerja tertutup dan kawasan kerja terbuka.

Artikel Berkaitan:

Selain itu acara, majlis, hiburan dan tarikan pelancong; hotel dan penginapan tetamu; keagamaan, perkahwinan dan pengebumian serta aktiviti dan fasiliti sukan, rekreasi dan riadah.

Ujar Hishamuddin, bagi mempermudahkan masyarakat memahami lebih lanjut mengenai satu SOP beserta sembilan garis panduan dan Fasa Peralihan Ke Endemik secara keseluruhannya, satu laman sesawang sedang dibangunkan dalam peringkat akhir.

“Laman sesawang dengan kerjasama rapat Majlis Keselamatan Negara (MKN) ini dijangka dapat diakses dua minggu sebelum 1 April sekali gus boleh membantu masyarakat membuat persiapan sebelum fasa tersebut bermula,” jelasnya.