247,858 usahawan, koperasi dipulihkan dengan dana RM7.45 bilion

MEDAC
MEDAC
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 247,858 usahawan dan koperasi yang terjejas dengan pandemik berjaya dipulihkan sepanjang 2021 melalui bantuan pembiayaan, geran, moratorium dan diskaun sewaan premis perniagaan dengan jumlah dana sebanyak RM7.45 bilion.

Melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) berkata, pihaknya juga telah membantu 3,996 individu menceburi bidang keusahawanan daripada kumpulan belia, graduan serta yang hilang pekerjaan melibatkan dana berjumlah RM32.98 juta.

MEDAC turut berjaya mengukuhkan daya tahan 9,318 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui adaptasi teknologi dengan jumlah dana sebanyak RM12.39 juta.

"Bagi melonjakkan pembangunan usahawan belia dan wanita pada 2022, MEDAC serta agensinya telah mengatur pelbagai jenis program dengan peruntukan RM213.7 juta untuk pelaksanaan enam program khusus bagi usahawan wanita dan RM127.5 juta untuk pelaksanaan 11 program usahawan belia," kata kementerian itu.

MEDAC berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung kejayaan dan perancangan kementerian dalam membangunkan usahawan muda dan wanita.

Dalam pada itu, bagi menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) berhubung rancangan pemulihan ekonomi bagi PMKS, MEDAC berkata, sehingga 31 Disember 2021, sebanyak 927 permohonan skim dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF) PKS di bawah SME Bank telah diluluskan dengan jumlah pinjaman RM490.19 juta.

"Sebanyak 123 permohonan Dana Transformasi Teknologi PKS (STTF) di bawah SME Bank juga diluluskan dengan jumlah pinjaman sebanyak RM154.04 juta.

"Manakala 97 permohonan dengan jumlah pinjaman RM17.63 juta diluluskan bagi skim Pembiayaan Pengukuhan PKS (SMERF) di bawah SME Corp," kata kementerian itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: