Proses pengundian awal PRN Johor tamat

Lima anggota PDRM menunjukkan jari mereka yang sudah dicelup dengan dakwat kekal selepas melakukan pengundian awal bagi PRN Johor di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara pada Selasa. - Foto Bernama
Lima anggota PDRM menunjukkan jari mereka yang sudah dicelup dengan dakwat kekal selepas melakukan pengundian awal bagi PRN Johor di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A
JOHOR BAHRU - Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 berakhir jam 5 petang Selasa.

Bagaimanapun, terdapat pusat mengundi awal yang telah ditutup pada jam 12 tengah hari dan 2 petang.

Sebanyak 63 pusat mengundi dibuka bagi proses pengundian awal yang bermula jam 8 pagi Selasa.

Lebih 22,000 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing layak mengundi pada Selasa.

Meskipun hujan pada sebelah pagi, ia tidak menghalang anggota keselamatan dan pasangan mereka keluar menunaikan tanggungjawab, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi sebanyak 81 peratus setakat jam 3 petang tadi.

Menurut PDRM dalam satu kenyataan proses pengundian awal berkenaan berjalan dengan lancar dan aman.

Antara yang mengundi pada Selasa ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang juga bekas Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini.

Selain kemudahan di IPK Johor, 10 Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negeri serta beberapa pejabat kerajaan turut dijadikan pusat mengundi.

Anggota tentera turut melaksanakan undi awal antaranya di Kem Mahkota, Kluang; Kem Tebrau, Ulu Tiram; Kem Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Batu Pahat dan Kem Rejimen Keempat Artileri Diraja (4RAD), Segamat.
Artikel Berkaitan:


Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN pada PRN kali ini.

Hari pengundian PRN Johor ditetapkan Sabtu ini. - Bernama


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my