Premis proses ayam, burung puyuh diserbu guna logo halal tidak sah

Pegawai KPDNHEP dan JHEAINS menunjukkan produk ayam dan burung puyuh sejuk beku yang menggunakan logo halal tidak sah dalam serbuan di sebuah premis di Taman Negeri pada Selasa.
Pegawai KPDNHEP dan JHEAINS menunjukkan produk ayam dan burung puyuh sejuk beku yang menggunakan logo halal tidak sah dalam serbuan di sebuah premis di Taman Negeri pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah premis perusahaan memproses ayam dan burung puyuh sejuk beku di Taman Negeri di sini diserbu pada Selasa, selepas disyaki menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tanpa mendapat perakuan halal yang sah daripada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pemeriksaan pada jam 10.30 pagi itu dilakukan pihaknya dengan JHEAINS hasil daripada pemantauan dan perkongsian maklumat antara dua agensi.

"Hasil pemeriksaan mendapati sijil pengesahan halal untuk produk yang dimiliki oleh perniagaan itu telah tamat tempoh pada September 2021.

"Namun begitu, logo halal Jakim masih digunakan pada paket-paket pembungkusan produk keluaran perniagaannya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, premis itu dimiliki oleh seorang warganegara tempatan berumur 34 tahun.

Katanya, sebanyak 14 unit paket ayam dan 44 unit paket burung puyuh sejuk beku telah disita dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM1,540.

"Kesemua barangan tersebut disita di bawah Peraturan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Peraturan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

"KPDNHEP akan terus menjalankan operasi yang sama ke atas mana-mana pihak yang didapati menggunakan logo halal pada mana-mana produk makanan tanpa mendapat perakuan halal yang sah daripada pihak berkuasa berwibawa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peniaga supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan dikuatkuasakan oleh KPDNHEP.