UMK mahu lahir ramai saintis berminda keusahawanan

Dr Ibrahim (depan tiga dari kiri) bersama pelajar Asasi Sains ketika program Live Lecture: EmiretusProf@ASASI siri pertama yang diadakan di UMK.
Dr Ibrahim (depan tiga dari kiri) bersama pelajar Asasi Sains ketika program Live Lecture: EmiretusProf@ASASI siri pertama yang diadakan di UMK.
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) komited melahirkan lebih ramai saintis berminda keusahawanan melalui penubuhan Program Asasi Sains UMK yang dahulunya dikenali sebagai program Persediaan Keusahawanan Sains.

Ketua Jabatan Persediaan Sains UMK, Fakulti Sains Bumi (FSB), Dr Marinah Muhammad berkata, UMK sentiasa berusaha menggalakkan penglibatan pelajar dalam bidang keusahawanan bermula dari pengajian peringkat sijil.

Katanya, langkah berkenaan sangat penting supaya mereka terdedah lebih awal dengan ekosistem keusahawanan di UMK berbanding pelajar peringkat ijazah sarjana muda.

"Pendekatan ini akan memberi nilai tambah kepada mereka yang memilih UMK seawal selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Marinah berkata, sepanjang tempoh penawaran program Asasi Sains UMK sejak 2011 hingga 2019, UMK telah melahirkan sembilan kohort pelajar dengan jumlah keseluruhan 565 orang yang memperoleh tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) sepenuhnya.

Katanya, pada tahun 2021, buat pertama kalinya program Asasi Sains telah ditawarkan di UMK Kampus Jeli yang mana permohonannya adalah secara dalam talian.

“Program Asasi Sains UMK merupakan program unik yang mampu melahirkan bakal pelajar yang berpengetahuan dalam bidang sains serta mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang keusahawanan dengan penguasaan bahasa asing yang mereka pilih," katanya.

Pengasas Program Asasi Sains UMK, Profesor Emiratus Datuk Dr Ibrahim Che Omar sebelum ini turut berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang Bioteknologi dan Bioperniagaan yang merupakan satu topik dalam kursus Biologi Gunaan bagi pelajar Asasi Sains UMK.

Artikel Berkaitan:

Beliau berbuat demikian dalam program Live Lecture: EmiretusProf@ASASI siri pertama yang diadakan di universiti berkenaan.

Selain itu, beliau turut menyempurnakan penyampaian sijil akademik kepada pelajar Asasi Sains yang memperoleh pencapaian akademik yang cemerlang.