Juruteknik didakwa ceroboh, mencabul

Tertuduh (depan) diiring polis sebaik tiba di mahkamah pada Selasa.
Tertuduh (depan) diiring polis sebaik tiba di mahkamah pada Selasa.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson pada Selasa atas pertuduhan menceroboh dan mencabul seorang wanita minggu lalu.

Tertuduh, W James, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret V Vanita selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menceroboh masuk rumah seorang wanita berusia 29 tahun di Taman Ria Batu 2 1/2, Port Dickson pada jam 6.10 pagi, 6 Mac 2022.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didapati melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat untuk mencabul kehormatannya pada jam 5.59 pagi tarikh dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda dan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin dsn tertuduh diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah menetapkan jaminan 6,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 22 Mac ini.

Artikel Berkaitan: