PM umum dana RM500,000 untuk aktiviti persatuan belia

Ismail Sabri menerima sebuah buku bertajuk ‘Himpunan Genta Rasa’ yang ditulis dan disampaikan oleh Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Kali ke-17 MBM di sebuah hotel pada Isnin.
Ismail Sabri menerima sebuah buku bertajuk ‘Himpunan Genta Rasa’ yang ditulis dan disampaikan oleh Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Kali ke-17 MBM di sebuah hotel pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan dana sebanyak RM500,000 kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi menggerakkan program dan aktiviti persatuan belia di seluruh negara.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau berkata MBM yang diiktiraf kerajaan sebagai badan induk pertubuhan belia negara mempunyai peranan besar dalam membantu kerajaan membangunkan golongan belia Keluarga Malaysia.

"Saya yakin, MBM yang mewakili suara anak-anak muda, sememangnya dekat dan peka kepada kehendak belia untuk bergerak bersama kerajaan ke arah meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MBM kali ke-71, dekat sini pada malam Isnin.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata keahlian pertubuhan belia yang kini kira-kira 1.2 juta atau mewakili hanya lapan peratus daripada keseluruhan populasi belia negara, sewajarnya ditambah menerusi kepelbagaian aktiviti.

Beliau berkata penglibatan belia dalam pelbagai aktiviti dapat menggalakkan pembudayaan lebih sihat antaranya melalui penyertaan badan bukan kerajaan belia dalam misi bantuan kepada mangsa bencana banjir di Kedah, Lembah Klang, Johor dan yang terbaharu, di negeri-negeri pantai timur.

"Saya percaya bukanlah penghargaan yang dikejar oleh mereka namun pada malam ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh sukarelawan belia, anda semua adalah wira-wira belia negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan menawarkan lebih 25 insentif yang boleh dimanfaatkan golongan belia di bawah Bajet 2022, antaranya bantuan tablet, e-dompet, insurans, serta inisiatif-inisiatif seperti Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan PenjanaKerjaya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan juga menyediakan perancangan yang jelas untuk golongan belia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2025.

Ismail Sabri berkata Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara pula telah mula menggerakkan inisiatif Pembangunan Profesional Kerja Belia dan golongan belia perlu mengambil peluang ini untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Tiga hingga Lima.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berharap sambutan Hari Belia Negara (HBN) tahun ini tidak sahaja dilaksanakan di peringkat kebangsaan tetapi ke peringkat akar umbi di seluruh negara bagi mengembalikan kemeriahan sambutan itu untuk menghargai golongan itu.

Beliau juga berharap Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) yang merupakan pengisian HBN akan memperkenalkan pelbagai kategori anugerah baharu sesuai dengan Model Baharu Pembangunan Belia antaranya Ikon Karismatik (Kepimpinan); Ikon Kelestarian Alam (Alam Sekitar) dan Ikon Reka Tekno (Inovasi dan Teknologi).

Lain-lain kategori dicadangkan adalah kategori Ikon Youth - Biz (Keusahawanan); Ikon Sanjungan Budi (Pembangunan Masyarakat); Ikon Belia Cekal (Belia OKU) dan Ikon Influencer Karakteristik (Belia Berpengaruh). - Bernama