Penduduk Gambir dilihat lebih terbuka terima PH, PKR

NAIM
NAIM
A
A
A

MUAR - [DIKEMAS KINI] Penerimaan penduduk kawasan Gambir dilihat lebih terbuka terhadap Pakatan Harapan dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Naim Jusri berkata, landskap pada pilihan raya terdahulu juga berjaya mengubah sikap dan pemikiran rakyat yang inginkan perubahan.

Tambahnya, pilihan yang telah dibuat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu juga menjadi tunjang keyakinan buat PH.

“Kita lihat di Gambir ini mempunyai komposisi kaum majmuk terdiri daripada 60 peratus kaum Melayu diikuti 37 peratus kaum Cina dan tiga peratus lagi merupakan kaum India.

“Saya lihat penerimaan rakyat terhadap PKR dan PH lebih terbuka sekarang kerana kawasan ini pun demografi masyarakatnya boleh dikatakan pekan bandar.

“Jadi kebijaksanaan penduduk Gambir menjadi taruhan dalam memilih pemimpin yang ikhlas, benar-benar melakukan kerja serta setia kepada perjuangan,” katanya kepada pemberita pada disini.

Dalam pada itu, Naim berkata, beliau yakin pengundi di kawasan berkenaan akan terus berpegang kepada aspirasi yang dibawa oleh PH pada PRU14.

“Dari sudut semangat berpasukan, sokongan yang diterima memang solid (padu) untuk membantu saya dan parti menang di kerusi DUN Gambir selain cabang Ledang ini tidak ada perpecahan.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat sudah pun menilai (pada PRU14) dengan memberikan kemenangan kepada PH, itu sebenarnya menjadi tunjang kita walaupun Perikatan Nasional (PN) yang memenangi kerusi itu.

“Tetapi kita yakin rakyat mengundi atas aspirasi dan kekal kepada perubahan yang mereka lakukan pada PRU14 yang lalu,” ujarnya.

Pada 12 Mac ini, DUN Gambir akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Naim dengan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Suraya Sulaiman; calon PN, Mohd Solihan Badri dan calon BN, Sahrihan Jani.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my