PAFA kena gantung enam bulan

IBRAHIM
IBRAHIM
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) digantung selama enam bulan susulan kemelut yang melanda badan induk bola sepak Perak itu.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan PAFA membuat langkah-langkah pemulihan mengikut perlembagaan mereka.

Menurutnya, pihak PJS mendapati pemecatan yang dibuat oleh PAFA terhadap 12 ahli gabungan sebelum ini juga tidak teratur mengikut Perlembagaan PAFA berdasarkan semakan laporan dan rekod yang diperoleh daripada PAFA dan Persatuan Bola Sepak (PB) Melayu Perak.

"Oleh kerana ada pelanggaran perlembagaan oleh PAFA dari segi proses pemecatan, kita tak ada pilihan bagi memastikan Perlembagaan PAFA itu dihormati, kita akan keluarkan notis tunjuk sebab bagi tujuan penggantungan kepada PAFA.

"Kita telah maklumkan bahawa pihak PAFA perlu mengadakan semula kongres bagi pemilihan jawatankuasa yang baharu ini bagi menentusahkan jawatankuasa yang benar-benar menerajui persatuan itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan PAFA dan PB Melayu Perak di Jabatan Belia dan Sukan Perak di sini pada Isnin.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut, tiga Naib Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohamad, Datuk Seri Irudianathan dan Abdul Aziz Yeop serta Setiausaha Kehormat PAFA, Tajul Hasnan Omar yang juga mewakili 12 ahli gabungan yang dipecat sebelum ini.

Ibrahim berkata, pihaknya memutuskan ahli jawatankuasa PAFA yang sah ketika ini ialah mereka yang dipilih pada sesi 2018-2021.

Menurutnya, PAFA perlu mengadakan pemilihan semula bagi memilih ahli jawatankuasa yang baharu sebelum tamat tempoh penggantungan selama enam bulan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kalau cepat mereka mengadakan pemilihan semula jawatankuasa, maka cepatlah mereka selesaikan (kemelut). Maka kita akan semak semula tempoh penggantungan.

"Kita akan keluarkan notis penggantungan dahulu dan mereka perlu memberikan maklum balas atau penjelasan dalam tempoh 14 hari," katanya lagi.

Sementara itu, Ibrahim berkata, Kongres Luar Biasa yang diadakan oleh PB Melayu Perak mewakili 12 ahli gabungan sebelum ini juga tidak terpakai disebabkan masalah teknikal berhubung kelayakan ahli.

Menurutnya, mereka hilang kelayakan disebabkan tidak membayar yuran keahlian PAFA berdasarkan rekod yang diterima.

Dalam pada itu, mengenai sebarang perjanjian dan urusniaga yang dilakukan PAFA sebelum ini termasuk penjualan Perak FC kepada Impact Media & Communications Sdn Bhd (IMC), beliau menjelaskan perkara itu perlu dirujuk dengan peguam.

Katanya, perkara itu hanya boleh diputuskan oleh mereka yang terlibat dalam perundangan dan ia di luar bidang kuasa PJS untuk menentukan perkara tersebut.