PGA rampas rokok seludup bernilai RM539,964

Antara kenderaan yang dirampas dalam serbuan Desa Pinggiran Putra Sepang pada Ahad.
Antara kenderaan yang dirampas dalam serbuan Desa Pinggiran Putra Sepang pada Ahad.
A
A
A

SEMENYIH - Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran rokok seludup bernilai RM539,964 susulan penahanan lima lelaki dalam serbuan berasingan di Desa Pinggiran Putra Sepang dan Taman Gembira Sri Petaling pada Ahad dan Isnin.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, dalam serbuan pertama, seramai empat lelaki berusia 26 hingga 70 tahun ditahan Desa Pinggiran Putra pada jam 10.40 pagi.

"Kita telah merampas 5,410 karton rokok tidak bercukai dengan anggaran nilai RM380,764, lima kenderaan, wang tunai dan walkie talkie," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Rizal berkata, dalam serbuan kedua pula, seorang lelaki berusia 26 tahun telah ditahan di Taman Gembira pada jam 12.30 tengah malam.

Seorang lelaki ditahan dalam serbuan di Taman Gembira Sri Petaling pada Isnin.
Seorang lelaki ditahan dalam serbuan di Taman Gembira Sri Petaling pada Isnin.

"Kita turut merampas 1,900 karton rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam premis tersebut. Anggaran nilai rampasan sebanyak RM159,200," katanya.

Beliau berkata, individu yang ditahan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan IPD Brickfields untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

"Hasil kejayaan ini, kita berjaya memutuskan satu sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Putrajaya, Cheras, Serdang, Subang, Kajang dan Brickfields.

Artikel Berkaitan:

"Kita menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.