Mat Jeng teruja kejar ombak besar

Aksi Mat Jeng ketika meluncur ombak di perairan pantai Cherating.
Aksi Mat Jeng ketika meluncur ombak di perairan pantai Cherating.
A
A
A

KUANTAN - Keseronokan mengejar ombak besar bersama papan luncur adalah pengalaman tidak dapat dilupakan buat anak muda kelahiran Felda Jengka 7, Maran setiap kali beraksi di laut.

Biarpun baru lima tahun penglibatan dalam sukan luncur air itu, Muhammad Syukrizam Abdullah, 28, atau popular dengan gelaran Mat Jeng tidak pernah mengalah, bahkan terus mengasah kemahiran luncur dalam impiannya mencipta nama di persada antarabangsa.

Mat Jeng berkata, minat mendalam dalam sukan luncur air bermula ketika bekerja sebagai pasukan penyelamat di sebuah pusat peranginan di Singapura beberapa tahun lalu.

"Minat itu sebenarnya bermula daripada kawan-kawan apabila mereka mengajar saya cara mengendalikan papan luncur. Di situ saya dapat menikmati kepuasan setiap kali bergulung dalam ombak.

"Saya kemudiannya membeli alatan meluncur dan kini saya merasakan ombak besar itu seperti 'taman permainan', " katanya ketika ditemui Sinar Harian di Cherating di sini pada Isnin.

Awal bulan lalu, Mat Jeng menjadi perhatian warga netizen selepas video aksi luncur ombak dilakukannya tular di laman sosial.

Mat Jeng terlibat secara serius dalam sukan luncur air selepas diberhentikan kerja dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19.
Mat Jeng terlibat secara serius dalam sukan luncur air selepas diberhentikan kerja dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Susulan penularan video berdurasi dua minit itu menyebabkan Mat Jeng mula menjadi tumpuan orang ramai termasuk rakan dan penduduk di Felda Jengka 7.

Artikel Berkaitan:

Anak sulung daripada lima beradik itu memberitahu, penglibatan secara serius dalam aktiviti meluncur bermula selepas diberhentikan kerja dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Dia kembali ke kampung halaman di Felda Jengka 7 untuk membantu ibu bapanya berniaga dan memberi fokus sepenuhnya kepada aktiviti meluncur ombak.

Mat Jeng berkata, pernah mengikuti latihan meluncur ombak di Bali dan Lombok, Indonesia dan Australia bagi menimba pengalaman sekali gus mengasah kemahiran meluncurnya.

"Setakat ini saya tidak menyertai mana-mana kelab meluncur sebaliknya bergerak secara bersendirian dan semua peralatan meluncur menggunakan sepenuhnya wang simpanan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mat Jeng pernah meraih tempat ke empat dalam dua pertandingan meluncur di Pantai Kekabu Marang, di Terengganu dan Pantai Tanjung Balau, Johor tiga tahun lalu.

"Tahun ini, saya sudah menyertai dua kejohanan luncur air di Tioman Surf Festival pada 27 hingga 29 Januari lalu.

"Pada awal Februari lalu, saya turut menyertai satu lagi kejohanan di Pantai Cherating dan semua pertandingan yang disertai menggunakan sumber kewangan saya sendiri," katanya yang masih belum menyertai pertandingan luncur air peringkat antarabangsa.

Sementara itu, ibunya, Nurzamani Ab Ghani, 48, menyokong minat anaknya dan mengakui aktiviti meluncur bukan sesuatu mudah.

Katanya, selepas video itu tular ramai pihak mula menghubunginya untuk bertanyakan berbagai soalan mengenai anaknya itu.

Jelasnya, malahan ada penduduk kampung sebelum ini yang kurang mengambil tahu kisahnya sudah juga mula bertanya tentang Mat Jeng.

"Semasa kecil dulu, Mat Jeng ini memang seorang anak yang lincah, biasalah duduk di kampung, mandi paya selepas hujan itu sudah menjadi kebiasaan kami di sini.

"Saya sendiri tidak sangka pula dia berbakat dalam sukan luncur air ini. Saya dapat tahu bila dia sering menyertai beberapa kejohanan sebelum ini," ujarnya.

Sementara itu, Nurzamani mendakwa ketiadaan penaja menjadi faktor Mat Jeng sukar menyertai kejohanan yang lebih besar.

"Sukan luncur air biasanya akan dijalankan beberapa hari maka selain yuran pendaftaran, kos-kos sampingan yang berkaitan juga perlu dititikberatkan," katanya.