Ain’s Treat sasar perkukuh jenama di pasaran eksport

Ain menunjukkan pau keluaran syarikatnya yang dijual di Arab Saudi.
Ain menunjukkan pau keluaran syarikatnya yang dijual di Arab Saudi.
A
A
A

RAWANG - Siapa sangka resipi pembuatan pau yang diambil daripada internet kini menjadi sumber pendapatan utama dan telah menembusi pasaran Arab Saudi sejak 2019.

Pengasas Ain’s Treat, Nurain Abd Mokhti, 39, berkata, perniagaan pau yang diusahakan sejak 10 tahun lalu itu dianggap rezeki yang datang secara tiba-tiba selepas produk karipap fusion yang terlebih dahulu dijalankan menghadapi kesukaran untuk dikembangkan dalam pasaran.

Nurain Abd Mokhti.
Nurain Abd Mokhti.

Bercerita lanjut, idea perniagaan pau datang daripada seorang pemain industri yang ketika itu memerlukan pengeluar pau selepas menghadapi masalah dengan kilang pembekal lama.

Bertitik-tolak daripada itu, dia menandatangani perjanjian dengan syarikat tersebut untuk membekalkan 13,000 biji pau sebagai tempahan permulaan.

“Bagaimanapun, stok yang dihasilkan itu dipulangkan semula dan perjanjian tersebut dibatalkan kerana pau yang dihasilkan tidak memenuhi piawaian yang dikehendaki pelanggan berkenaan.

“Bagi mengelak kerugian, saya mengambil keputusan menjualnya kepada orang ramai bagi mendapat wang untuk meneruskan perniagaan,” katanya.

Katanya, pengalaman tersebut tidak mematahkan semangat untuk terus memantapkan ilmu perniagaan dan menambah baik kualiti pau dihasilkan.

Artikel Berkaitan:

“Hampir 20 guni tepung dikorbankan untuk menjadi pau seperti yang ada sekarang. Alhamdulillah, pengeluaran pau menjadi rancak sehingga mampu membeli tambahan peralatan dan lori.

“Pada 2014, saya ambil keputusan untuk menghentikan pengeluaran karipap fusion bagi menumpukan perhatian kepada produk pau sahaja yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna,” kongsinya.

Ain bersama sebahagian produk keluaran Ain’s Treat.
Ain bersama sebahagian produk keluaran Ain’s Treat.

Kongsinya lagi, perniagaan yang dijalankan sejak usianya 24 tahun sehingga sekarang dimajukan setapak demi setapak sehingga menjadi stabil dan kukuh.

“Bermula lima jenis pau kini bertambah menjadi 11 perisa, kilang yang dahulunya satu premis kini dibesarkan kepada empat premis dan daripada lima pekerja kini bertambah kepada 20 pekerja,” katanya.

Memasuki fasa seterusnya, pada tahun ini dia menyasarkan untuk meningkatkan ‘brand awareness’ melalui kaedah pemasaran di media sosial.

Pada masa sama katanya, dia menyasarkan menambah pengeluaran pau daripada 20,000 biji kepada 40,000 sehari.

Selain itu katanya, pada tahun ini syarikatnya ke arah mendapatkan Pengiktirafan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) bagi eksport yang lebih besar. Ini sekali gus ke arah menjadi sebaris dengan syarikat besar lain.