Najib sahut cabaran Azmin berdebat dengan sindiran, beri soalan bocor

Najib (kanan) ketika berkempen di Machap, Johor pada Ahad.
Najib (kanan) ketika berkempen di Machap, Johor pada Ahad.
A
A
A

MACHAP - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyahut cabaran debat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara sindiran dengan menyatakan wajah Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu ‘kabur’.

Sindiran Ahli Parlimen Pekan itu susulan Mohamed Azmin dilapor mencabarnya berdebat mengenai isu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada Sabtu.

"Ada yang nak berdebat dengan saya. Dia kata konon saya telah merosakkan Felda. Datuk Seri Azmin Ali nak berdebat dengan saya.

"Saya nak berdebat dengan dia (Azmin). Tetapi muka dia kabur, tak berapa jelas dalam video. Susahlah nak berdebat dengan orang muka yang tak berapa jelas.

“Kalau saya nak debat, baik saya debat dengan Tan Sri Muhyiddin (Yassin). Debat pasal hal Felda. Jangan tipu Felda,” kata Najib ketika berkempen di Machap, Johor yang disiarkan secara langsung di Facebook beliau pada Ahad.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Mohamed Azmin mencabar Najib berdebat isu Felda dan mahu ia dilakukan sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Mohamed Azmin juga mendakwa, kepimpinan Najib telah menghancurkan peneroka dan masa depan Felda dan beliau terbuka untuk berdebat dengan Najib menerusi mana-mana kaedah ataupun ia dilakukan secara maya.

Dalam pada itu, Najib menuntut Mohamed Azin untuk menjawab terlebih dahulu beberapa 'soalan bocor' berhubung Felda sebelum berdebat dengannya.

Artikel Berkaitan:

Najib berkata, jawapan yang bakal diberikan Azmin nanti penting bagi membuktikan sama ada benar atau sebaliknya, Pengerusi PN yang juga bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membantu melunaskan hutang peneroka Felda.

"Soalan pertama, adakah masalah terbesar Felda masa saya jadi Perdana Menteri bersabit dengan pokok-pokok yang sudah tua? 50 peratus pokok-pokok dalam rancangan Felda adalah pokok-pokok tua.

"Jadi kalau kita nak cari penyelesaian melalui penyenaraian FGV dalam masa 15 tahun, mungkin Felda tidak akan wujud lagi.

"Ini kerana dana kerajaan (kepada Felda) telah dibatalkan, sebab itu melalui penyenaraian FGV ini kita dapat tanam semula 10,000 hektar tiap-tiap tahun. Betul tak masalah pokok tua telah diselesaikan?,” ujarnya.

Najib turut menyoal benarkah kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi dana kepada Felda agar kesejahteraan hidup peneroka sentiasa dijamin sepanjang masa.

“Soalan ketiga, adakah dalam soal Eagle High Plantation ini kita beli 37 peratus saham syarikat itu, satu kawasan seluas tiga kali ganda besar dari Singapura. Sebab apa? Sebab kita mahu Felda menjadi Economy Power House daripada bidang ekonomi hingga persada antarabangsa.

"Hendak kembangkan di Malaysia sudah tidak ada tanah. Jadi kita ke Kalimantan kerana kawasan luas. Kalau kita tidak mahu menyertainya, FGV ada pull option (pilihan menarik diri). Apabila ada pull option boleh beli balik dengan kadar faedah enam peratus tiap tahun. Yang untung siapa? Maknanya kepentingan Felda terjamin.

“Jadi janganlah kata kerana Eagle High kita rugi, musnahkan Felda. Dengan harga (sawit) yang tinggi sekarang, rugi kita jual balik. Eagle High seronok kalau kita jual balik kerana ia boleh beli balik,” katanya.