KPWKM perlu bantu remaja dituduh bunuh bayi

 Dr Hartini Zainudin
Dr Hartini Zainudin
A
A
A

SHAH ALAM - Aktivis kanak-kanak dan pelarian, Datuk Dr Hartini Zainudin meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi perhatian sewajarnya terhadap kes seorang remaja berusia 15 tahun yang dituduh membunuh bayinya di Kemaman, Terengganu pada Februari lalu.

Dalam surat terbuka yang ditujukan kepada Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, aktivis itu berkata tertuduh seorang kanak-kanak, jika disabitkan sekalipun, menurut Seksyen 97(2) Akta Kanak-kanak 2001, dia boleh ditahan mengikut suatu tempoh masa yang ditetapkan Yang di-Pertuan Agong, DYMM Sultan atau Yang di-Pertua Negeri (mengikut tempat kesalahan dilakukan).

“Ini merupakan masa yang amat lama untuk menahan seorang kanak-kanak, yang ditekan trauma, menghadapi keganasan seksual, dan terhukum tanpa diberi rawatan atau kaunseling menyeluruh sewaktu tempoh tahanan.

“Sebagai Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, adakah YB (Yang Berhormat) sedang mengikuti rapat kes ini? Kanak-kanak perempuan ini memerlukan sokongan YB sekarang,” katanya.

Beliau yang juga Pengasas Yayasan Chow Kit berkata, sekiranya kanak-kanak ini didapati bersalah, bagi kanak-kanak perempuan di tempat tahanan, akses kepada persekolahan hampir tiada.

“Apatah lagi akses kepada Sekolah Integriti. Jikapun ada akses, kita tahu bahawa dia mengalami kurang upaya pembelajaran. Peluang belajar, mendapatkan sijil ijazah seperti kanak-kanak lain semasa ditahan adalah mustahil,” ujarnya.

Katanya lagi, Jabatan Peguam Negara telah menyatakan bahawa mereka masih boleh menyiasat dan menyemak kembali pertuduhan kesalahan bunuh terhadap kanak-kanak perempuan ini, untuk ditukar kepada kesalahan yang lain.

“Ini adalah mengikut perkembangan atau fakta terkini termasuk siasatan bahawa dia mungkin seorang mangsa rogol. Makluman ini dialu-alukan tetapi sekarang ini terdapat permohonan jaminan kanak-kanak perempuan ini bakal diputuskan Selasa ini,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Hartini lagi, keadaan fizikal, mental dan emosi dirinya yang baru sahaja melahirkan anak telah melalui perubahan mendadak.

“Dia memerlukan perhatian segera selain daripada sokongan ibu beliau. Fakta yang tidak dapat disangkal ialah dia masih seorang kanak-kanak. Dia sendiri perlukan sokongan emosi dan rawatan fizikal serta mental, secara serta-merta,” katanya.

Tambahnya lagi, tertuduh tiada langsung risiko akan melarikan diri, ramai antara kami boleh membantu ibu dan kanak-kanak perempuan ini bagi memastikan dia mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.