Peluang terbaik Spurs bangkit

Pemain Spurs bersedia untuk mencatat kemenangan. - Foto Reuters
Pemain Spurs bersedia untuk mencatat kemenangan. - Foto Reuters
A
A
A

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte percaya aksi berdepan Everton pada Selasa merupakan peluang terbaik bagi mengembalikan skuad kendaliannya itu ke landasan kemenangan.

Menurut Conte, setelah tersingkir daripada saingan Piala FA berikutan tumpas 0-1 kepada Middlesbrough minggu lalu, skuad The Lilywhites itu digesa memberikan aksi terbaik bagi memastikan kemenangan ke atas Everton.

Malah katanya, perlawanan itu dilihat sebagai permulaan yang baik untuk pasukan berkenaan kembali ‘bangkit’ setelah dikecewakan pada pusingan kelima Piala FA, minggu lalu.

“Kita juga sedar memiliki masa yang bersesuaian bagi melakukan persiapan mengharungi perlawanan berkenaan.

“Persiapan ini penting kerana kita akan berdepan pasukan yang hebat dengan kehadiran pengendali baharu, Frank Lampard yang telah membuktikan kewibawaannya dengan mengemudi Derby County dan Chelsea sebelum ini.

“Oleh itu, kita jangkakan perlawanan ini akan menjanjikan aksi sengit bagi kedua-dua pasukan,” katanya.

Untuk rekod, Spurs kini berada pada kedudukan ketujuh dengan 42 mata setelah mengharungi 25 perlawanan manakala Everton berada pada kedudukan ke-17 dengan meraih 22 mata daripada 24 perlawanan setakat ini.

Sementara itu, pengendali Everton, Frank Lampard mahu pemain memberikan fokus ketika berdepan Spurs selain berwaspada dengan ancaman daripada penyerang tonggak pasukan berkenaan, Harry Kane.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Kane disifatkan sebagai antara penyerang terbaik ketika ini dan jika dibiarkan bergerak bebas, dia boleh menjadi ‘pemusnah’ pada perlawanan berkenaan.

“Saya mengingatkan pemain untuk fokus selain mengekang pergerakan Kane daripada melakukan percubaan ke pintu gol dan jika kesemua ini kita berjaya lakukan, kita ada peluang untuk mencatatkan kemenangan,” katanya.