Wanita warga emas maut Perodua Viva langgar Honda CR-V

Keadaan Perodua Viva dan Honda CR-V yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Semambu, Kuantan pada Ahad. - Foto ihsan Polis Trafik Kuantan
Keadaan Perodua Viva dan Honda CR-V yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Semambu, Kuantan pada Ahad. - Foto ihsan Polis Trafik Kuantan
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Semambu di sini pada Ahad.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva, So Ken Luan @ Soo Kim Moy, 74, dari Rancangan Rumah Murah (RRM) Semambu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu SUV jenis Honda CR-V, Maznan Yusof, 65, dan penumpangnya, Puziah Abu Bakar, 64, hanya cedera ringan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa memandu dalam perjalanan dari arah Semambu menghala ke Jalan Beserah.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan SUV dinaiki dua pesara swasta itu," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Wan Mohd Zahari berkata, mangsa yang tersepit dalam kenderaannya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.

"Wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk proses bedah siasat.

"Dua mangsa yang cedera dihantar menerima rawatan ke hospital sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai (saksi awam) yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan," katanya.