'Bikers heaven' bakal jadi penarik sukan permotoran di Melaka

Muhammad Jailani
Muhammad Jailani
A
A
A

MELAKA - Sektor pelancongan sukan di Melaka dijangka terus melonjak apabila kerajaan negeri bercadang mewujudkan Bikers Heaven khusus bagi peminat sukan bermotor dan aktiviti berkonvoi.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, Bikers Heaven tersebut akan dibina dalam satu kawasan yang akan dikenali sebagai Rainbow Village.

"Satu daripada elemen utama dalam Bikers Heaven adalah peminat dan pemilik motosikal berkuasa besar ini boleh datang, lepak dan pamerkan karya mereka pada motosikal mereka.

"Untuk projek Rainbow Village ini, kami sedang cuba untuk dapatkan kelulusan dari kerajaan negeri dan lokasi akan dimaklumkan kemudian," katanya selepas selepas melancarkan Konvoi Bermotor Semarak Pelancongan Melaka 2022 di perkarangan Menara Taming Sari di sini, pada Sabtu.

Di samping itu, Muhammad Jailani juga turut melancarkan logo dan kempen Revitalise and Rejuvenate Melaka 2022 sebagai usaha memperkasakan industri pelancongan di negeri ini ke tahap global di bawah Flagship 6: Melaka Negeri Pelancongan.

"Ini akan memberi suntikan tenaga dan kesegaran baharu pada industri pelancongan Melaka bagi menjadikan negeri ini antara tiga destinasi pelancongan popular di Malaysia dan terunggul di dunia dengan memfokuskan pelancongan sejarah, warisan dan budaya," katanya.

Muhammad Jailani berkata, ini termasuklah menambah baik konsep di persekitaran Menara Taming Sari dengan mewujudkan beberapa lagi produk pelancongan termasuklah menyiapkan Rumah Hantu menjelang tahun ini serta merancang membina restoran gantung.

"Kami juga sedang merancang membina terowong pelancongan di sini yang mana pelancong boleh mendapatkan maklumat perihal sejarah dan inti pati pelancongan melalui skrin sesentuh yang diletakkan di sepanjang terowong itu.

Artikel Berkaitan:

"Untuk maklumat lanjut seperti luas dan panjang terowong ini akan dimaklumkan kemudian selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri," katanya.

Konvoi Bermotor Semarak Pelancongan Melaka 2022 disertai 100 peserta dengan laluan sejauh 144 kilometer, melibatkan beberapa perhentian seperti Hotel Seri Malaysia, Puteri Bay Hotel, Freeport A' Famosa Outlet dan A' Famosa Resort. - Bernama