Pengajaran dari kisah Kak Long ‘mengamuk’

Insiden seorang wanita yang mengamuk di sebuah kedai serbaneka di Terengganu ‘memeriahkan’ media sosial minggu ini.
Insiden seorang wanita yang mengamuk di sebuah kedai serbaneka di Terengganu ‘memeriahkan’ media sosial minggu ini.
A
A
A

INSIDEN seorang wanita yang mengamuk di sebuah kedai serbaneka di Terengganu ‘memeriahkan’ media sosial minggu ini.

Semuanya gara-gara sebuah video yang tular memaparkan wanita berkenaan yang dipanggil ‘Kak Long’ berang apabila anak lelakinya didakwa mencuri oleh seorang pekerja di kedai serbaneka itu.

Video berkenaan meraih jutaan tontonan dan memperlihatkan ibu kepada kanak-kanak lelaki berkenaan bertindak penuh emosi dengan meninggikan suara serta melakukan Facebook Live sebagai pengajaran kepada pelanggan-pelanggan lain dan pekerja kedai tersebut.

Bagaimanapun, punca insiden itu berlaku akhirnya terlerai apabila seorang lelaki yang dipercayai pengurus kedai serbaneka itu tampil menjelaskan situasi sebenar.

Menerusi video berdurasi 1 minit 10 saat yang dimuat naik di platform TikTok, pengurus kedai tersebut tampil menceritakan kembali situasi sebenar kejadian, yang dikatakan berpunca daripada salah faham antara pekerjanya dan juga pelanggan.

Kejadian itu dikatakan berlaku selepas salah seorang rakan kepada kanak-kanak lelaki yang didakwa mencuri itu memberitahu kepada kakitangan kedai serbaneka terbabit.

Bagaimanapun, pengurus kedai serbaneka itu berkata, berdasarkan semakan rakaman litar tertutup (CCTV), pihaknya mendapati kanak-kanak lelaki berkenaan tidak bersalah, malah tiada kes kecurian berlaku.

Susulan daripada itu, ibu kepada kanak-kanak lelaki dan juga pekerja kedai serbaneka tersebut tampil bertemu dan saling bermaaf-maafan, malah mengakui akan kesilapan serta salah faham.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, walaupun insiden itu dianggap telah selesai apabila kedua-dua pihak saling bermaafan, Kak Long masih lagi menerima kecaman daripada netizen.

Lebih mengejutkan, satu video lama yang dikatakan membabitkan Kak Long di sebuah restoran makanan segera bersama keluarganya kembali tular dan dia sekali lagi menerima komen-komen negatif daripada netizen yang mengecam perangainya yang dikatakan kurang sopan.

Di sebalik komen-komen negatif berkaitan isu Kak Long, ada netizen yang berkongsi ilmu, dengan menyiarkan sebuah video lama khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Datuk Dr Abdul Basit Abdul Rahman mengenai sabar.

Abdul Basit dalam khutbahnya menjelaskan, setiap manusia perlu meningkatkan kesabaran dan tidak mudah ‘koyak’ apabila berdepan ujian.

Jelasnya, sifat bersabar menjadi bukti kepada keimanan yang tinggi kepada ALLAH Taala kerana walaupun berdepan dengan ujian hebat, hambaNya tetap mampu bersabar dan berserah diri serta bertawakal kepada ALLAH.