Kembalikan mandat kepada Pakatan Harapan

A
A
A

Kedai makan antara lokasi strategik Chin Tong beramah mesra dengan rakyat di kawasan DUN Perling.
Kedai makan antara lokasi strategik Chin Tong beramah mesra dengan rakyat di kawasan DUN Perling.

Pilihan raya negeri Johor bagi DUN Perling menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Tan Hiang Kee daripada MCA yang mewakili Barisan Nasional, Koo Shiaw Lee (Gerakan-Perikatan Nasional) dan Liew Chin Tong (DAP-Pakatan Harapan).

Mampukah Liew, 45, sebagai Pengerusi DAP Johor yang pernah menjadi Ahli Parlimen serta mantan Timbalan Menteri Pertahanan mencatat kejayaan pertamanya sebagai Ahli Dewan Negeri Johor? Apakah idea dan tawaran yang mahu beliau bersama Pakatan Harapan bawa dalam pilihan raya negeri Johor ini?

Anda dicalonkan bertanding mewakili DUN Perling. Apa latar belakang pencalonan anda?

Saya telah beberapa kali bertanding dalam pilihan raya umum sejak tahun 2008 tetapi inilah kali pertama saya bertanding di kerusi Dewan Negeri. Kepimpinan DAP berpandangan bahawa Pakatan Harapan (PH) perlu membuktikan kepada pengundi bahawa kami sudah bersedia untuk kembali menerajui Kerajaan Negeri Johor. Walaupun sebelum ini saya hanya bertanding kerusi Parlimen, saya pernah melibatkan diri dalam pentadbiran negeri. Apabila saya menjadi Ahli Parlimen Bukit Bendera (2008-13), saya telah berkhidmat sebagai Penasihat Dasar kepada (mantan) Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sewaktu beliau memegang jawatan tersebut. Saya turut memimpin Penang Institute yang merupakan badan pemikir dasar (think tank) untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Pengalaman yang saya perolehi dalam bidang pengurusan warisan, perancangan bandar dan pengangkutan awam, memang amat sesuai untuk pembangunan serta kemajuan kawasan Perling dan sekitar Johor Bahru, termasuk wilayah Iskandar Malaysia.

Apakah bentuk kempen yang bakal dilakukan bagi menarik perhatian pengundi?

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pihak polis meletakkan syarat yang ketat, kami tetap mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Kempen kami secara langsung ialah mengadakan ceramah di bilik gerakan, walaupun SPR hadkan kepada tidak lebih 100 orang; bersarapan dan minum petang secara santai bersama warga Perling, dan mengadakan walkabout di kawasan awam. Kami juga memasang papan tanda, sepanduk dan poster di tempat yang dibenarkan. Kami juga mengadakan siri ceramah, wawancara dan diskusi dalam pelbagai bahasa melalui Facebook Live.

Artikel Berkaitan:

Chin Tong turut mendekati rakyat daripada pelbagai kaum.
Chin Tong turut mendekati rakyat daripada pelbagai kaum.

Apakah masalah yang anda nampak ada di DUN ini?

Seperti mana keadaannya di seluruh negara, masalah ekonomi merupakan isu utama. Masalah gaji tidak naik manakala harga barang sentiasa naik bukan satu fenomena alam. Ia merupakan kelemahan kerajaan Barisan Nasional menangani keperluan rakyat. Keadaan menjadi lebih buruk di Perling apabila sempadan Johor-Singapura ditutup. Ia telah melumpuhkan ekonomi Johor Bahru. Ramai peniaga yang terkesan teruk dan terpaksa gulung tikar.

Bagi lebih 360,000 pekerja yang berulang-alik, ramai yang terpaksa menetap di Singapura menyebabkan tambahan kos sara hidup. Bukan itu sahaja, sektor pelancongan juga turut terjejas. Jadi, sempadan perlu dibuka dengan menggunakan kaedah uji dan lepas (test-and-release) tanpa perlu kuarantin. Kaedah ini boleh digunakan kerana kebanyakan rakyat Malaysia dan Singapura telah lengkap divaksin. Sistem Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) pula perlu diperluaskan kepada motosikal dan kereta persendirian kerana kedua-duanya lebih selamat dengan risiko jangkitan berbanding dengan bas dan kapal terbang.

Apakah masalah lain di DUN ini, dan bagaimana anda mahu menanganinya?

Penyelesaian terbaik ialah mengembalikan kerajaan Pakatan Harapan. Ia akan memudahkan tumpuan usaha kami untuk memastikan peluang pekerjaan dan gaji serta persekitaran perniagaan yang lebih baik. Ini dapat dilakukan dengan memastikan kemasukan pelaburan serta ketiadaan rasuah. Saya juga mahu menumpukan kepada usaha penyediaan pengangkutan awam dan perumahan yang lebih baik untuk rakyat. Kita tidak mahu lambakan rumah mewah yang tiada pembeli tetapi ramai orang terutamanya golongan muda tidak mampu membeli rumah kerana tiada pemaju mahu membina rumah mampu milik. Perling dan seluruh Johor Bahru juga memerlukan perancangan bandar yang lestari bagi memelihara alam sekitar dan iklim, termasuk pelan mitigasi untuk mencegah dan mengawal banjir, dan mengawasi penambakan tanah dengan lebih cermat.

Chin Tong mendapat perhatian golongan pengundi muda di kawasan Dun Perling.
Chin Tong mendapat perhatian golongan pengundi muda di kawasan Dun Perling.

Apakah harapan anda kepada para pengundi?

Mengundilah demi mengembalikan mandat rakyat kepada Pakatan Harapan untuk menyambung serta meneruskan khidmat dan jasa bakti. Pilihan raya ini ialah persaingan di antara kerajaan Pakatan Harapan dan kerajaan BN. Ia adalah pertandingan "kerajaan lawan kerajaan" untuk memilih kerajaan terbaik yang sentiasa mengutamakan rakyat. Saya dengan rendah hati berharap pengundi Perling dan Johor bukan sahaja memilih saya sebagai wakil rakyat tetapi semua pengundi Johor akan memilih kerajaan negeri yang terbaik, bersih dan prihatin.

Apa yang meyakinkan anda tentang pengundi Perling dan Johor?

Saya yakin pengundi Perling dan Johor akan membuat pilihan terbaik untuk diri serta keluarga mereka. Saya sebagai Pengerusi DAP Johor sentiasa berkomunikasi dengan pimpinan Pakatan Harapan Johor serta parti sahabat seperti MUDA. Kami sama-sama yakin pengundi Johor mahu negeri ini aman damai dan menjadi lebih baik. Pada masa ini, sejak rampasan kuasa Sheraton tahun 2020, kerajaan Johor tidak stabil apabila PN dan BN sentiasa bertelingkah dan berebut kuasa. Malah pemimpin tertinggi kluster mahkamah UMNO-BN di peringkat nasional boleh membahayakan masa depan negara kerana mereka terlibat dengan pelbagai tuduhan rasuah dan salah guna kuasa serta pecah amanah. Semoga kestabilan sebenar dapat diwujudkan apabila Pakatan Harapan menjadi pilihan pengundi Johor.

LIEW CHIN TONG
LIEW CHIN TONG

Profil calon

Nama: Liew Chin Tong

Umur: 45 tahun

Pengalaman politik:

Ahli Parlimen Bukit Bendera (2008-13)

Ahli Parlimen Kluang (2013-18)

Ahli Dewan Negara/Senator (2018-21)

Pengalaman dalam kerajaan:

Timbalan Menteri Pertahanan (2018-20)

Jawatan parti:

Pengerusi DAP Johor

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP

Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan

Jawatan lain:

Pengarah Eksekutif, Penang Institute (2009-12)

Pendidikan:

Ijazah Sarjana Muda (Kepujian), Australian National University

Ijazah Sarjana, Asia-Europe Institute, Universiti Malaya