Malaysia laksana VTL udara dengan Thailand, Kemboja pertengahan Mac

Pelaksanaan VTL udara dengan Thailand dan Kemboja dijangka pada pertengahan Mac ini.
Pelaksanaan VTL udara dengan Thailand dan Kemboja dijangka pada pertengahan Mac ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan merancang untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dengan Thailand dan Kemboja yang dijangka pada pertengahan bulan ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ketika ini kerajaan sedang melakukan persiapan untuk melaksana inisiatif itu.

"Perkara ini masih dalam perbincangan terutama selepas kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Thailand dan Kemboja baru-baru ini.

"Selaku Menteri Pengangkutan, saya umumkan jemaah kabinet memang sudah membincangkan hasil lawatan Perdana Menteri ke dua-dua negara itu dan mereka sudah setuju untuk VTL dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheah Fah di Sunway City di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Ka Siong (tiga kiri) merasmikan SJKC Cheah Fah di Sunway City, Iskandar Puteri, pada Jumaat.
Ka Siong (tiga kiri) merasmikan SJKC Cheah Fah di Sunway City, Iskandar Puteri, pada Jumaat.

Ka Siong berkata, pelaksanaan VTL udara dengan kedua-dua negara itu kelak akan mengguna pakai model yang sama melibatkan pelaksanaan VTL udara antara Singapura dan Kuala Lumpur sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kedua-dua negara itu juga sudah memaklumkan mereka tidak akan melaksanakan kuarantin tetapi untuk kemasukan ke Malaysia akan mengguna pakai 'template' yang sama dengan VTL bersama-sama Singapura.

"Hari ini, pihak Singapura juga sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan melaksanakan VTL udara antara Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang," katanya.

Pada 25 Februari lalu, Ismail Sabri memberitahu, Malaysia bakal memulakan inisiatif VTL udara dengan Thailand dalam waktu terdekat ini ketika mengadakan kunjungan rasmi ke negara berkenaan.