Lebih 42,000 individu dapat peluang kerja

Seramai 42,166 individu telah ditawarkan kerja, manakala 1,200 pekerjaan baharu diwujudkan pada Januari lalu. Foto hiasan
Seramai 42,166 individu telah ditawarkan kerja, manakala 1,200 pekerjaan baharu diwujudkan pada Januari lalu. Foto hiasan
A
A
A

USAHA kerajaan dalam menyelesaikan isu pengangguran dalam kalangan masyarakat Malaysia dilihat semakin membuahkan hasil apabila seramai 42,166 individu telah ditawarkan kerja, manakala 1,200 pekerjaan baharu diwujudkan pada Januari lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis berkata, kejayaan itu dimaklumkan dalam mesyuarat Majlis Pekerjaan Negara (NEC) bagi membincangkan program dan inisiatif yang telah dan akan dijalankan oleh agensi pelaksana untuk mencipta peluang pekerjaan bagi Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri berkata, mengimbas kembali kejayaan yang telah dicapai pada tahun 2021, kerajaan dengan kerjasama bersepadu pelbagai kementerian, agensi pelaksana dan sektor swasta telah berjaya menempatkan 558,633 pekerjaan.

Ujarnya, pencapaian tersebut adalah 112 peratus daripada sasaran yang telah ditetapkan dan kerajaan yakin kejayaan ini boleh diulangi dengan sasaran yang lebih tinggi bagi tahun 2022.

Tambah beliau, kerajaan akan menambah baik dan memperkasa ekosistem pekerjaan melalui pewujudan Pusat Penempatan Pekerjaan sehenti yang akan memantau kejayaan setiap permohonan pekerjaan.

Menurutnya, inisiatif itu merupakan pelengkap bagi platform MYFutureJobs yang memudahkan majikan menawarkan pekerjaan dan pada masa sama membantu pencari kerja untuk membuat pendaftaran serta mendapatkan tarikh temu duga.

Pada 19 Februari lalu, Perdana Menteri melancarkan inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera yang menyediakan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan RM4.8 bilion bagi tahun ini.

Inisiatif JaminKerja merupakan kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).

Artikel Berkaitan:

Ia terdiri daripada tiga komponen utama iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, Malaysia Shortterm Employment Programme (MySTEP) serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran.

Selaras dengan kejayaan itu, ia turut mencerminkan keadaan ekonomi Malaysia yang semakin pulih dengan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

Malah, perkembangan positif itu pastinya dapat menyuntik semangat pencari kerja, lebih-lebih lagi mereka yang terkesan akibat Covid-19 agar tidak berputus asa dalam mengintai peluang kerjaya yang terbuka untuk mereka.