Cuepacs tolak cadangan swastakan penyediaan makanan di tiga hospital

Adnan (tengah) ketika sidang akhbar di Kota Kinabalu pada Khamis.
Adnan (tengah) ketika sidang akhbar di Kota Kinabalu pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak cadangan kerajaan untuk menswastakan penyediaan makanan kepada pesakit di tiga hospital kerajaan di negeri ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, cadangan itu sudah diteliti bagaimanapun mendakwa Cuepacs tidak pernah dipangggil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk sesi libat urus sebaliknya diarahkan menyediakan maklumat kepada pihak syarikat untuk mereka buat cadangan penswastaan.

Katanya, sistem penswastaan dilakukan secara kluster melibatkan tiga hospital di negeri ini iaitu Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), HQE II dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) yang diberikan secara 'direct award' kepada satu syarikat.

"Bagi kami ini amat tidak munasabah, gunakan maklumat kerajaan untuk orang lain dapatkan manfaat secara terus.

"Kerajaan tidak harus melihatnya dalam konteks keuntungan semata-mata, ada jabatan memang untuk beri perkhidmatan dan bukan mendatangkan keuntungan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Jelasnya lagi, kebanyakan jabatan yang wujud dalam hospital adalah untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dengan sistem penyampaian yang perlu disegarkan semula dalam bentuk penjawatan dan skim perkhidmatan selain memperkasakan fungsi dan tugas sedia ada.

"Bukan terus buat cadangan penswastaan yang lebih menguntungkan pihak swasta dan hasil kajian kita diberikan kepada mereka. Ini tidak adil.

"Pada asasnya, kami menolak dan kerajaan perlu buat perbincangan untuk jelaskan penswastaan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Adnan lagi, penswastaan itu turut memberi kesan kepada seramai 79 kakitangan di tiga hospital berkenaan iaitu pembantu penyediaan makanan, penolong pegawai penyediaan makanan, tukang masak atau juru sajian makanan.

"Jika penyediaan makanan diswastakan, mereka akan dihantar ke hospital lain yang lebih jauh dari tempat tinggal dan ia akan menyukarkan mereka.

"Selain itu, sistem penswastaan ini tidak beri impak kepada perkhidmatan makanan sebab sistem ini tidak sistematik kerana perkhidmatan 'in house' sekarang lebih berkesan kerana makanan disediakan tepat pada waktu selain diet serta kualitinya segar ikut standard," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung isu gaji minimum, Adnan mencadangkan supaya ia diperlu dipertingkatkan kerana kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Kita tidak mahu gaji tidak selesa dan perbelanjaan makin teruk.

"Harga barang makin meningkat dan akhirnya memberi kesan kepada kami dalam konteks kebolehan dan kuasa membeli ke atas produk yang ada di luar sana," katanya.