10 ditahan terlibat kegiatan 'ah long'

PDRM
PDRM
A
A
A

NIBONG TEBAL - Polis menahan seramai 10 individu termasuk empat wanita selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan pemberi pinjaman wang atau 'ah long' dalam talian di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat di sini, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, serbuan dibuat melalui Op Vulture kira-kira jam 4.30 petang hasil daripada risikan dilakukan pihaknya bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Petaling Jaya sebelum menyerbu premis yang dijadikan 'call center' oleh sindiket berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati premis terbabit juga digunakan untuk kegiatan memberi pinjaman wang secara dalam talian tanpa lesen dan kegiatan mengutip hutang.

"Ketika serbuan terdapat 10 individu berusia 18 hingga 30 tahun di premis dan pemeriksaan membawa penemuan beberapa peralatan elektronik mencurigakan.

"Kita merampas komputer riba dan telefon bimbit pelbagai jenama serta kad prabayar yang semuanya dipercayai digunakan untuk kegiatan memberi pinjaman secara dalam talian," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Chong Chern berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan dalang sindiket itu yang dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan secara berpindah-randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Jelasnya, pihaknya juga masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sejak bila mereka beroperasi.

"Kesemua 10 individu ditahan itu kini direman untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951," katanya.

Artikel Berkaitan: