PH tidak guna strategi umum calon MB Johor

Syed Ibrahim ditemui pemberita selepas Program Jelajah bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Gambir pada Rabu.
Syed Ibrahim ditemui pemberita selepas Program Jelajah bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Gambir pada Rabu.
A
A
A

PAGOH - [DIKEMAS KINI] Pakatan Harapan (PH) tidak akan menggunakan strategi mengumumkan calon menteri besar (MB) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, sehingga kini masih tiada rundingan di peringkat pimpinan menyenaraikan calon MB.

Menurutnya, calon MB tersebut bukan perkara utama bagi PH.

“Kita tidak ada perbincangan bagi bagi calon menteri besar daripada PH, memang tidak ada. Bukan nak berselindung, memang tiada.

"Jadi itu bukan perkara utama, sebaliknya kita fokus menyampaikan hasrat rakyat dalam pilihan raya ini. Dalam ucapan pemimpin pun kita tegaskan cara kita mewakili rakyat, membela nasib mereka dan mengangkat suara rakyat.

"Kita kena menangkan calon-calon kita supaya mereka boleh benar-benar mewakili rakyat dan melihat kepada kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program jelajah bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Gambir pada Rabu.

Ditanya mengenai Dr Maszlee Malik sebagai calon MB, beliau berkata, ia adalah sebutan daripada media bukan daripada parti.

Artikel Berkaitan:

"Saya pun tak keluarkan apa-apa kenyataan dan bagi saya itu adalah anggapan daripada pihak media. Itu mungkin perkiraan dan perbincangan yang berlaku.

"Kalau ditanya rakyat di bawah, mereka tak bincang pun perkara ini. Kita tamatkan di situ (isu calon MB) dan biar fokus kepada agenda rakyat," katanya.

Tambah Syed Ibrahim, strategi PH adalah untuk menang dan bukannya mengetengahkan calon MB.

“Isu pokoknya ialah kegagalan kerajaan ini dahulu membela nasib rakyat dan mengawal harga barang, meringankan beban hidup ini yang rakyat nak, tapi duduk sibuk nak jadi menteri besar dan parti.

“Malah sibuk nak rebut kerusi nak jadi MB dan Exco, ini masalah besarnya. Jadi kita kena balik ke pangkal jalan dan belajar tentang ini dan fokus kepada rakyat.

“Kita kena tengok bagaimana cara nak bantu rakyat dan saya rasa bila kita bincang isu kepimpinan dan MB akan memesongkan daripada agenda sebenar,” jelasnya.