'Jangan kompaun, beri masa peniaga bertenang' - Noh

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara diminta tidak mengeluarkan kompaun terhadap peniaga yang baru dapat bernafas selepas terjejas teruk dengan pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, PBT perlu memberikan kelonggaran dalam tempoh masa sekurang-kurangnya enam bulan bagi membolehkan peniaga bangkit semula memulakan perniagaan.

Menurutnya, kerajaan menyalurkan bantuan dan pinjaman kepada usahawan termasuk yang tidak berlesen sebagai galakan untuk kumpulan itu meneruskan perniagaan.

"Kerajaan beri bantuan untuk mereka teruskan perniagaan tetapi jika PBT kompaun mereka, maka tiada makna bantuan diberikan sebaliknya wang yang diterima habis digunakan untuk membayar denda.

"Jadi saya minta PBT di seluruh negara khususnya di Selangor tolong beri kelonggaran, jangan kompaun berikan masa untuk peniaga bertenang," katanya pada majlis penyerahan Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) di Bangunan Kumpulan Muara pada Rabu.

Noh berkata, beliau telah meminta agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memberikan kelonggaran undang-undang kepada usahawan selain pemberian moratorium.

"Jangan saman-menyaman ketika orang tengah susah kena sabar dahulu, gunakan budi bicara dengan biarkan orang berniaga asalkan tidak mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan geran secara 'one-off' kepada 328 usahawan informal dan mikro yang terkesan banjir bagi Parlimen Shah Alam, Kota Raja, Puchong dan Klang.

Artikel Berkaitan: