BBKM dibuka kepada usahawan pantai timur

Noh (kanan) menyampaikan bantuan BBKM kepada salah seorang usahawan terjejas banjir di Selangor pada Disember lalu.
Noh (kanan) menyampaikan bantuan BBKM kepada salah seorang usahawan terjejas banjir di Selangor pada Disember lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Usahawan informal dan mikro yang terjejas banjir di pantai timur boleh membuat permohonan bantuan di bawah Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sebelum ini menyediakan peruntukan RM50 juta kepada usahawan di negeri-negeri terjejas banjir pada Disember lalu.

Menurutnya, peruntukan tersebut dapat memberikan manfaat kepada 16,000 usahawan melalui bantuan 'one-off' sebanyak RM3,000.

"Setakat ini 12,000 usahawan telah dikenal pasti dan berbaki 4,000 (kekosongan) yang boleh dimohon.

"Jadi kita buka kepada usahawan dari pantai timur. Jika tidak mencukupi kita akan minta peruntukan tambahan daripada kerajaan," katanya pada majlis penyerahan BBKM di Bangunan Kumpulan Muara pada Rabu.

Pada majlis itu seramai 328 usahawan bagi Parlimen Shah Alam, Kota Raja, Puchong dan Klang menerima BBKM.

Noh berkata, beliau menyasarkan proses bantuan tersebut dapat diselesaikan pada hujung Mac.

"Kita akan selesaikan dahulu penyerahan mangsa banjir di fasa pertama sebelum diperluaskan ke pantai timur," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 9 Februari Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan inisiatif BBKM yang ditambah baik untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) memulihkan perniagaan dan kembali beroperasi semula.

TEKUN diamanahkan untuk melaksanakan dua inisiatif iaitu Geran BBKM dan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM).

Bagi inisiatif SPIM, usahawan ditawarkan nilai pembiayaan sehingga RM10 ribu tanpa caj keuntungan dan moratorium selama 12 bulan melalui dana tambahan RM50 juta.