Muda kesal dengan layanan 'dua darjat'

Mohd Azrol (tengah) bersama-sama ahli Muda yang menunjukkan kelulusan permit yang diperolehi serta gambar ceramah BN yang melanggar SOP, pada sidang akhbar di bilik gerakan Muda DUN Bukit Permai, Kulai, pada Rabu.
Mohd Azrol (tengah) bersama-sama ahli Muda yang menunjukkan kelulusan permit yang diperolehi serta gambar ceramah BN yang melanggar SOP, pada sidang akhbar di bilik gerakan Muda DUN Bukit Permai, Kulai, pada Rabu.
A
A
A

KULAI - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kesal dan tidak berpuas hati dengan layanan dua darjat pihak berkuasa terhadap mereka sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dimulakan pada Sabtu.

Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrol Ab Rahani berkata, terbaharu layanan buruk diterima parti itu semasa mengadakan ceramah di pekarangan bilik gerakan Muda di sini pada malam Selasa diserbu polis, petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Beliau yang merupakan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai berkata, kejadian itu berlaku pada jam 8.40 malam dan ceramah terpaksa diberhentikan kerana didakwa tidak mengikut peraturan.

"Alasan pemberhentian ceramah Muda yang diberikan pihak berkuasa adalah berkaitan lokasi ceramah terbuka yang dikatakan di luar bangunan premis dan telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor.

"SOP tidak menyatakan yang kami tak boleh buat ceramah di sekitar pekarangan bilik gerakan manakala pihak berkuasa tetap bertegas kami perlu buat ceramah di bilik gerakan sahaja," katanya dalam sidang akhbar di bilik gerakan Muda DUN Bukit Permai, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Azrol berkata, bilik gerakan tersebut tidak sesuai untuk diadakan ceramah kerana terlalu kecil untuk memuatkan 100 orang dan walaupun mempunyai permit tetapi tetap dihalang meneruskan program itu.

"Yang hairannya, mereka (penguat kuasa) sudah berada di kawasan berhampiran sejak jam 7 malam lagi, kenapa tidak tegur kami sejak awal lagi ketika sedang buat persiapan mengadakan ceramah itu," soalnya.

Dakwanya, ini bukan kali pertama kali program Muda dikacau malah pernah dikenakan kompaun RM1,000 semasa hari penamaan calon pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimana kami dilayan sebegini rupa sedangkan layanan terhadap parti politik seteru seperti BN adalah berlainan yang membolehkan penganjuran kempen berskala besar.

"Ini contoh yang berlaku di Felda Taib andak, dekat sini, Isnin lalu apabila BN mengadakan ceramah di luar bilik gerakan mereka dan melebihi masa yang ditetapkan, gambar yang dirakam menunjukkan jam 10.30 malam," katanya.

Katanya, semua sedia maklum SOP berkempen hanya sehingga jam 10 malam dan kempen BN tersebut bukan sahaja melanggar SOP lebih masa malah turut mengadakan ceramah di luar gerakan mereka.

Menurutnya, biarpun pelbagai dugaan yang menimpa, tidak sekali-kali akan mematahkan semangat mereka untuk meneruskan perjuangan membawa politik baharu pada PRN Johor.

"Walaupun sering diganggu yang menjejaskan kelancaran kempen kami, kami tetap tak putus asa dan berharap pihak berkuasa dapat memberi kerjasama dengan memberi kelonggaran dan pelepasan untuk rakan-rakan di DUN Bukit Permai ini berkempen," ujarnya.