Konflik Ukraine- Rusia lonjak harga komoditi: Khazanah

Amirul Feisal
Amirul Feisal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Implikasi daripada konflik Ukraine-Rusia bukan hanya sekadar insiden tempatan tetapi melangkaui daripadanya apabila ia telah menyebabkan harga komoditi melonjak tinggi susulan sekatan yang dikenakan ke atas Rusia, kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Beliau berkata, Khazanah mempunyai pendedahan kecil di Eropah dan tidak mempunyai pendedahan langsung kepada bon atau ekuiti Rusia.

"Ia adalah suatu yang kami sedang nilai tetapi ia akan lebih membawa kepada impak secara umum akibat daripada konflik itu,” katanya semasa taklimat pertama beliau mengenai Kajian Tahunan Khazanah 2022, di sini, pada Rabu.

Amirul Feisal berkata, konflik itu yang membawa kepada sekatan ke atas Rusia, mempengaruhi harga komoditi termasuk harga minyak mentah yang tinggi yang memberi impak kepada pelbagai sektor seperti inflasi dan ekonomi.

"Apabila harga bahan api meningkat, kerajaan akan melihat semula kepada dasar mereka sendiri iaitu dasar monetari serta dasar fiskal dan bagaimana ia akan memberi impak kepada perdagangan. Amat sukar pada masa ini untuk benar-benar mengenal pasti maksudnya dengan tepat kerana ianya terus berkembang dalam waktu terkini ini.

"Ini suatu yang unik bagi kami di Khazanah kerana kami tidak ada caruman pekerja yang kami perlu simpan seperti pencen atau unit amanah. Kami boleh mengambil langkah yang perlu bagi mencapainya dan ia membantu kami untuk memilih strategi bagi pelaburan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: