543 calon SPM di Negeri Sembilan positif Covid-19

Calon SPM 2021 SMK Kompleks KLIA membaca doa sebelum peperiksaan
Calon SPM 2021 SMK Kompleks KLIA membaca doa sebelum peperiksaan
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 543 daripada 16,758 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Negeri Sembilan tidak dapat menduduki peperiksaan selepas disahkan positif Covid-19.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Md Fiah Md Jamin berkata, kesemua pelajar berkenaan bagaimanapun boleh menduduki kertas peperiksaan berkenaan pada sidang kedua yang berlangsung April ini.

"Pelajar yang positif Covid-19 ini ada yang menjalani kuarantin di asrama dan ada juga di rumah dan mereka boleh menduduki peperiksaan sebaik sahaja bebas Covid-19.

"Setakat ini semua sekolah yang terlibat dengan peperiksaan beroperasi seperti biasa dan situasi covid di sekolah terkawal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas turun melihat hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks KLIA, di sini pada Rabu.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan calon, seramai 14,871 adalah calon sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan manakala 1,887 calon adalah dari lain-lain kategori sekolah termasuk calon persendirian.

Ujarnya, terdapat 53 calon Murid Berkeperluan Khas pelbagai kategori iaitu masalah pembelajaran (15 calon), pendengaran (11 calon), penglihatan (4 calon), fizikal (19 calon) dan pelbagai (4 calon).

"Selain itu terdapat tiga calon yang terpaksa mengambil peperiksaan di hospital kerana terlibat kemalangan, terjatuh di bilik air dan sedang dirawat kerana kanser tulang.

Artikel Berkaitan:

"Masing-masing mengambil peperiksaan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di Hospital Chinese Maternity (CMH) dan di Hospital Tunku Ampuan Najihah (HTAN)," katanya.

Md Fiah berkata, secara keseluruhan terdapat 150 pusat peperiksaan melibatkan sebanyak 138 sekolah.