'Banjir tidak patahkan semangat kami duduki peperiksaan'

Seramai 131 pelajar SMA Mahmudiah menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), pada Rabu.
Seramai 131 pelajar SMA Mahmudiah menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah di Hulu Terengganu yang terjejas banjir tetap bersemangat untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini walaupun terpaksa berpakaian biasa.

Nor Nadia Iman Ashaari, 18, berkata, dia tetap akan mencuba yang terbaik walaupun fikiran agak runsing memikirkan keluarga di kampung yang terjejas banjir.

"Perasaan saya agak gementar. Walaupun persiapan telah dibuat lebih awal cuma saya rasa fizikal agak penat dan perlu menahan perasaan kerana tidak dapat lagi bertemu dengan ibu bapa saya.

"Perasaan runsing pun ada sebab rumah semua tenggelam dalam banjir kali ini," katanya ketika ditemui pemberita di pusat peperiksaan alternatif Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), di sini, pada Rabu.

Senada dengan Nor Nadia, Fatimah Amirah Rashid, 18, berkata, dia hanya tawakal dan berserah setelah berusaha membuat yang terbaik untuk menduduki peperiksaan.

"Nota-nota pelajaran milik saya telah hanyut dalam banjir dan saya ada mendapatkan semula melalui internet.

"Apa yang saya harapkan ialah saya akan membuat yang terbaik dalam peperiksaan yang bermula hari ini," katanya.

Sebahagian daripada pelajar SMA Mahmudiah menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), pada Rabu.
Sebahagian daripada pelajar SMA Mahmudiah menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Adam Haikal Hazli, 18, berkata, pengalaman mengambil peperiksaan dalam suasana banjir tidak dapat dilupakan.

"Banyak buku tenggelam banjir. Pakaian juga banyak dihanyutkan air. Rumah di kampung juga dinaiki air," katanya.

Seramai 18,815 calon SPM 2021 termasuk yang terjejas banjir menduduki peperiksaan di 170 pusat di seluruh Terengganu pada Rabu.

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, seramai 319 calon yang terjejas banjir akan kekal berada di pusat peperiksaan alternatif sehingga peperiksaan SPM tamat.

"Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) juga mempunyai banyak pelan alternatif sekiranya banjir berulang dalam tempoh peperiksaan berlangsung.

"Bagaimanapun, JPNT akan membuat penilaian risiko situasi semasa banjir bagi membolehkan mereka kembali menduduki SPM di sekolah asal," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di SMAASZA pagi Rabu.

Seramai 319 calon SPM melibatkan empat sekolah iaitu tiga di daerah Hulu Terengganu (SMA Mahmudiah, Sekolah Menengah (SM) Imtiaz dan Madrasah Moden) serta Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih di Kemaman terjejas banjir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!