Limpahan air dari Thailand antara punca banjir teruk di Rantau Panjang

Tuan Ibrahim (tengah) bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (kanan) melihat sebahagian pek barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Pusat Bantuan Asnaf Rantau Panjang hari ini. - Foto Bernama
Tuan Ibrahim (tengah) bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (kanan) melihat sebahagian pek barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Pusat Bantuan Asnaf Rantau Panjang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Selain hujan lebat berterusan selama beberapa hari, limpahan air sungai yang berasal dari negara jiran iaitu Thailand turut dikenal pasti sebagai antara punca berlaku banjir teruk di Rantau Panjang di sini sejak Jumaat lepas.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, banjir di Thailand yang membabitkan lima wilayah besar menyebabkan airnya mengalir ke Sungai Golok.

"Yang mengatakan banjir teruk berlaku kali ini adalah disebabkan kerja-kerja pembinaan benteng (Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu bagi Sungai Golok (Kesban)) itu tidak betul.

"Benteng itu sebenarnya berjaya mengurangkan impak, kalau ia tidak ada, mungkin akan berlaku (banjir) dengan lebih teruk. Sekarang banjir berlaku disebabkan limpahan Sungai Golok, ia disahkan apabila lima wilayah di Thailand banjir teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Bantuan Asnaf Rantau Panjang di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff merangkap Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Tuan Ibrahim berkata, projek Kesban yang membabitkan tiga fasa mampu meminimumkan impak banjir terutama di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat pada masa akan datang.

"Fasa satu projek iaitu tembok untuk menghalang air dari Sungai Golok dijangka siap dalam tempoh terdekat manakala bagi fasa dua, kerajaan telah meluluskan peruntukan membabitkan RM265 juta untuk pembinaan tembok banjir,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan akan memberi peruntukan kepada pemilik rumah yang rosak akibat banjir membabitkan nilai RM50,000 untuk pembinaan semula kediaman.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, kita kenal pasti enam rumah yang telah musnah sepenuhnya. Kita juga akan memberi pampasan dan bantuan khas kepada mangsa banjir yang terkesan termasuk kos membaiki kerosakan.

"Saya juga telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran agar menghantar kelengkapan untuk proses pengepaman air banjir ke Sungai Golok ke kawasan yang terjejas teruk tetapi sekiranya paras air Sungai Golok masih tinggi, kita tidak dapat lakukan, kena tunggu dahulu namun kita akan cuba bantu sebaik mungkin,” katanya. - Bernama