Taman Arnab tarikan di Jerantut

Pengunjung boleh memberi makan arnab yang jinak
A
A

JERANTUT - Selain Taman Negara yang sinonim dan dikenali seluruh dunia satu lagi lokasi menarik perlu dikunjungi di Jerantut ialah Taman Arnab.

Terletak di Kampung Bukit Batu, Damak, Taman Arnab menjanjikan ketenangan dan mengurangkan tekanan dengan bermesra bersama haiwan comel tersebut.

Dihiasi landskap menarik serta dikelilingi pelbagai pokok buah-buahan seperti durian belanda, limau, manggis dan durian menambahkan lagi tarikan di taman itu.

Tidak sukar ke taman itu dan jarak masanya kira-kira setengah jam dari bandar Jerantut. Pengunjung boleh bermain bersama arnab yang sedia 'menanti' mereka.

Pengurusnya,Yunus Rani, 52, memberitahu, taman itu dibuka pada 2017 di bawah kendalian Unit Peladang Bukit Batu yang juga membabitkan 12 ahli keluarganya termasuk Ketua Unit, Jamaludin Ahmad.

Yunus Rani
Yunus Rani

Menurutnya lokasi itu juga ilham arwah adiknya, A Rozi yang tertarik dengan konsep popular di luar negara. "Jadi dari situ tercetus untuk membuka taman ini seluas 0.2 hektar dengan lebih 200 arnab daripada pelbagai spesies termasuk dari luar negara. "Pengunjung boleh bermesra, memberi makanan dan berada di taman berkenaan sehingga ditutup pada jam 6 petang.

Taman dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi. Tarikan taman berkenaan bukan sahaja daripada penduduk di daerah itu malah dari seluruh negara termasuk Sabah," katanya.

Dekorasi Taman Arnab yang menarik menanti pengunjung
Dekorasi Taman Arnab yang menarik menanti pengunjung

Menurutnya, pengunjung dikenakan bayaran sebanyak RM5 untuk dewasa dan RM3 kanak-kanak. Selain itu pengunjung juga boleh membeli haiwan tersebut selain dagingnya dan daging lembu salai.

Yunus memberitahu, taman itu juga ditanam pokok strawberi sesuai dengan cuaca di negara ini dan mereka yang berminat boleh membelinya.

Menurutnya,terdapat sepasang kuda yang diberi nama Sally dan Boi yang sedia menanti kunjungan orang ramai dengan bayaran RM10 untuk lima pusingan.

Kuda padi turut disediakan untuk kanak-kanak
Kuda padi turut disediakan untuk kanak-kanak

"Malah dengan trend terkini, konsep pelancongan semulajadi ala kampung semakin digemari. Jauh dari hiruk-pikuk kota, taman ini menawarkan penginapan inap desa bagi mereka yang ingin berehat dan mencari ketenangan.

"Buat masa ini usaha membina menambahkan jumlah rumah penginapan sedang dijalankan dan kita akan tawarkan pakej berpatutan, termasuk makan minum serta riadah. "Bagi mereka yang minat memancing terdapat kolam pancing di sini dengan ribuan ikan pelbagai spesies antaranya, kerai, patin dan keli kampung," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu perancangannya selepas ini untuk menambahkan tarikan lain seperti kambing dan aktiviti sukan lasak dan kedai makan sebagai tambahan kepada kemudahan sedia ada seperti tandas, surau dan tempat letak kenderaan.

Penjawat awam, Noraini Nawawi, 34, yang berasal dari Kuala Krau, dia mengetahui taman tersebut daripada abangnya dan teruja kerana dapat bersama ahli keluarga bermesra bersama arnab.

Menurutnya ia adalah kunjungan kali pertama dan tidak menjangka kewujudan taman itu di negeri ini.

"Seronok dan suasananya menarik. Harap lebih banyak haiwan lain ada di sini nanti," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia