Banjir: Guna lori bomba bawa jenazah Covid-19

Jenazah dibawa menggunakan kenderaan dari BBP Pengkalan Kubor ke Hospital Tumpat.
Jenazah dibawa menggunakan kenderaan dari BBP Pengkalan Kubor ke Hospital Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Jenazah seorang lelaki merupakan pesakit Covid-19 terpaksa dibawa menggunakan lori ke Hospital Tumpat oleh pasukan petugas kesihatan berikutan kawasan sekitar Kampung Padang Mandol di sini, dilanda banjir.

Mohd Zuhdi Hassan Bashari, 37, yang mengalami masalah obesiti dengan berat mencecah 200 kilogram meninggal dunia di kediamannya pada jam 7.30 pagi Selasa terpaksa diusung dengan cara pengendalian berbeza.

Lebih 10 kawasan yang dilimpahi air banjir terpaksa diharungi pasukan penyelamat terdiri daripada kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tumpat dan anggota polis dengan menggunakan lori dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran PKD Tumpat, Mohamad Zawawi Mohamed berkata, apabila menerima makluman berkenaan, pihaknya segera menghubungi BBP Pengkalan Kubor untuk mendapatkan bantuan logistik memandangkan laluan utama ke rumah mangsa tidak dapat dilalui kenderaan ringan.

"Semasa kami tiba di rumah berkenaan, kami lihat mangsa terbaring di ruang dapur. Sebagaimana prosedur biasa, kami berlapan segera mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk memulakan tugas.

"Kita juga turut ubah suai pengusung dengan menambah beberapa batang besi untuk tujuan mengukuhkan lagi usungan. Tugasan bantuan kali ini dibuat secara berhati-hati dan agak mencabar bagi memastikan semuanya berjalan dengan baik," katanya.

Sementara itu, makluman awal dari keluarga mangsa memberitahu, mangsa tidak mempunyai penyakit kronik namun mempunyai masalah sukar bernafas kerana berat badan berlebihan.

Misi bantuan berkenaan dilakukan dalam tempoh sejam dan jenazah di bawa ke Hospital Tumpat untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan: