Ahli Parlimen cadang pengeluaran KWSP kali terakhir, i-Ceria

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang ahli Parlimen mencadangkan kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan 'i-Ceria' Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu kemudahan pengeluaran wang buat kali terakhir.

Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa berkata, hal ini kerana terdapat keperluan mendesak bagi sebilangan rakyat Malaysia menggunakan wang persaraan mereka itu bagi tujuan meneruskan kelangsungan hiudp.

"Tuntutan ini bukan menidakkan kebimbangan kerajaan terhadap simpanan hari tua, tuntutan saya ini juga bukanlah menafikan fakta mengenai 20 peratus daripada pencarum KWSP tidak mempunyai simpanan yang cukup di hari tua.

"Tuntutan saya pada hari ini adalah semata-mata untuk memastikan permintaan Keluarga Malaysia dipenuhi, khususnya buat mereka yang masih bergelut dengan kesusahan akibat pandemik Covid-19, ditambah pula musibah banjir yang telah berlaku baru-baru ini,” katanya.

Justeru, Mohd Salim berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula tuntutan rakyat iaitu pengeluaran KWSP untuk kali terakhir dan secara bersasar bagi mereka yang memerlukan, bergantung kepada jumlah simpanan.

Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pengeluaran wang KWSP menerusi beberapa siri inisiatif, i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari.

Cadangan berkenaan turut dipersetujui beberapa ahli Parlimen termasuk Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit), M Karupaiya (PH-Padang Serai), Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) dan Datuk Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat).

Sementara itu, Karupaiya dan Hasan berpendapat kerajaan perlu mengawal kenaikan harga barang susulan tindakan peniaga yang tidak bertanggungjawab cenderung menaikkan harga ketika rakyat menerima bantuan kewangan.

Artikel Berkaitan:

Hasan berkata, ini menyebabkan kuasa beli kalangan rakyat semakin berkurang walaupun mempunyai wang, oleh itu kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan dalam mengawal harga barangan terutama di kawasan luar bandar.

Xavier pula berpendapat, cadangan i-Ceria itu bertepatan dengan keadaan semasa ekonomi negara yang memerlukan masa untuk kembali pulih seperti sebelum ini dan kerajaan bertanggungjawab membantu anggota Keluarga Malaysia khususnya golongan B40.

Sementara itu beberapa ahli Parlimen pembangkang turut menyentuh isu kenaikan kos sara hidup selain mencadangkan kerajaan agar segera melaksanakan tindakan proaktif dalam menangani isu itu yang dikhuatiri meruncing akibat impak krisis antarabangsa Ukraine dan Rusia.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengesyorkan agar kerajaan menubuhkan satu dana kestabilan harga supaya negara dapat mengurangkan dan mengekang kenaikan harga barangan yang sedang dihadapi rakyat.

"Saya juga syorkan kita beri dana benih RM3 bilion yang boleh kita peroleh daripada Cukai Makmur yang dikenakan dalam Belanjawan 2022,” katanya pada sesi perbahasan itu.

Bagi membantu golongan B40 meringankan beban kos sara hidup yang tinggi dan tanggungan yang banyak, Wong Chen (PH- Subang) mencadangkan agar kenaikan gaji minimum pada kadar RM2700 sebulan bagi setiap keluarga golongan itu. - Bernama