PH belum bincang calon MB Johor

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

BAKRI - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) masih belum mengadakan perbincangan mengenai calon Menteri Besar Johor daripada gabungan itu.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, berkemungkinan perkara itu akan dibincangkan dalam masa terdekat.

“Tetapi saya tidak mahu komen banyak sebab saya pun bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) ini tetapi biarlah perkara itu diselesaikan di peringkat Majlis Presiden PH.

“Itu disiplin kita,” katanya semasa edaran bubur lambuk dan solat Asar di Surau Ar-Rahman, Simpang Jeram pada Selasa.

Mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bahawa Barisan Nasional (BN) telah mempunyai 40 peratus penyokong tegar di Johor, Salahuddin berkata bukan hanya gabungan itu sahaja mempunyai pengundi putih.

“Semua parti hari ini sedang meningkatkan pendekatan kepada pengundi. Bukan hanya BN dan UMNO yang ada pengundi putih, kita pun ada undi putih.

“Saya rasa isu tu berlaku pada semua parti, kita semua sedang mempertingkatkan membuat penculaan yang lebih tepat supaya kita dapat mengeluarkan pengundi dan penyokong tegar kita. Itu yang sedang kita lakukan,” ujarnya.

Menyentuh mengenai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang positif Covid-19, Ahli Parlimen Pulai itu berkata, mereka terpaksa mengubah strategi dan pendekatan melibatkan calon berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi saya rasa dengan adanya teknologi moden ini, walaupun di rumah kita masih boleh menyampaikan mesej yang jelas kepada rakyat.

“Saya rasa itu tidak ada masalah. Cuma saya faham penampilan peribadi itu penting dan penampilan fizikal itu juga rakyat nak tengok. Sebaik sahaja mereka sembuh nanti mereka boleh tampil di khalayak ramai,” ujarnya.