Kerajaan pusat tidak dilibatkan dalam rundingan NCA

Tuan Ibrahim berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Selasa.
Tuan Ibrahim berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan tidak dimaklumkan, dirujuk dan dilibatkan dalam proses rundingan Perjanjian Konservasi Alam Semulajadi (NCA) antara kerajaan negeri Sabah dengan syarikat asing yang berdaftar di Singapura.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, disebabkan ketiadaan maklumat, kementeriannya tidak tidak dapat memberikan penjelasan terperinci mengenai kandungan perjanjian tersebut.

Jelasnya, maklumat yang diterima Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) hanya melalui kenyataan media dan kenyataan bertulis daripada wakil kerajaan negeri Sabah yang dilaporkan di media.

“Sekiranya perjanjian NCA tersebut mempunyai aspek transaksi kredit karbon antarabangsa, maka ia akan memberi impak secara langsung kepada pencapaian Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) dan aspirasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih negara.

“Kementerian Alam Sekitar dan Air juga sentiasa mengalu-alukan kerajaan negeri Sabah untuk merujuk dan melibatkan kerajaan Persekutuan dan pemegang taruh lain di dalam perbincangan berkaitan perjanjian NCA dan mekanisme pasaran karbon pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang memintanya menyatakan pendirian kerajaan Persekutuan dalam kawal selia aktiviti perniagaan karbon (carbon trading) seperti perjanjian perniagaan karbon antara kerajaan negeri Sabah dengan syarikat asing.

Artikel Berkaitan: