Klopp yakin Liverpool mampu lakar sejarah

The Reds dilihat berpeluang melakarkan satu lagi sejarah memenangi empat trofi musim ini jika mampu menewaskan Norwich City pada aksi pusingan kelima Piala FA di Anfield pada Khamis. -Foto: Sportskeeda
The Reds dilihat berpeluang melakarkan satu lagi sejarah memenangi empat trofi musim ini jika mampu menewaskan Norwich City pada aksi pusingan kelima Piala FA di Anfield pada Khamis. -Foto: Sportskeeda
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan skuad kendaliannya itu berpeluang mencatatkan satu lagi sejarah dengan memenangi empat trofi musim ini, jika mampu menewaskan Norwich City pada aksi pusingan kelima Piala FA di Anfield pada Khamis.

Menurut Klopp, kemenangan pada Khamis itu dilihat bakal membuka ruang buat The Reds untuk mara ke pusingan keenam Piala FA kali ini.

Bagaimanapun, Klopp tetap mengingatkan skuad kendaliannya itu untuk memberikan aksi terbaik berdepan The Cannaries yang dilihat mampu mencipta kejutan sebagaimana yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Kita ada peluang untuk mencipta sejarah memenangi empat trofi dalam semusim, oleh itu kesemua pemain diminta untuk kekal fokus dalam usaha menjadikannya satu realiti.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita akan memberikan fokus yang sama kepada setiap perlawanan kerana setiap trofi adalah berbeza.

“Sebagai contoh, kita hampir dikejutkan Norwich pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 19 Februari lalu apabila mereka menjaringkan gol pembukaan di Anfield sebelum kita bangkit menjaringkan tiga gol dalam 17 minit bagi memenangi perlawanan itu,” katanya.

Untuk rekod, Liverpool merangkul Piala Liga 2022 dengan menewaskan Chelsea 11-10 menerusi penentuan sepakan penalti Isnin lalu manakala dalam saingan Liga Juara-Juara, The Reds membawa bekal selesa ke Anfield untuk berdepan Inter Milan, 9 Mac ini hasil kemenangan 2-0 di San Siro dalam aksi kalah mati pertama 17 Februari lalu.

Malah dengan rekod baik dalam saingan Liga Juara-Juara selain mengekori rapat pendahulu liga, Manchester City ketika ini, Liverpool dilihat memiliki peluang untuk merealisasikan perkara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Klopp berkata, The Reds kini dilihat berada pada prestasi terbaik bagi melakar kemenangan pada setiap perlawanan yang diharungi.

“Bagi saya, pasukan berada pada prestasi terbaik ketika ini dan momentum ini perlu diteruskan.

“Apa pun, kesemua pemain diharap agar terus konsisten selain memastikan prestasi masing-masing sentiasa dalam keadaan terbaik,” ujarnya.