PDRM perhebat perangi jenayah pemerdagangan orang, penyeludupan migran

Abd Jalil (kanan) merasmikan Persidangan Pendakwaan dan Penguatkuasaan Penguatkuasaan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) antara Jabatan Peguam Negara dan Agensi-agensi Penguatkuasaan Tahun 2022.
Abd Jalil (kanan) merasmikan Persidangan Pendakwaan dan Penguatkuasaan Penguatkuasaan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) antara Jabatan Peguam Negara dan Agensi-agensi Penguatkuasaan Tahun 2022.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan pencapaian penilaian Tier 1 atau 2 dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dalam laporan 'Trafficking In Persons Report' yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hasan berkata, PDRM sedang berusaha untuk mencapai sasaran itu susulan Malaysia kini berada pada kedudukan Tier 3.

"Kita sedang berusaha keras untuk mencapai sasaran ke Tier 1 atau 2 dalam tempoh terdekat dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

"Usaha tersebut dilaksanakan dengan kerjasama agensi di bawah Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Peguam Negara dan lain-lain agensi," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Pendakwaan dan Penguatkuasaan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) antara Jabatan Peguam Negara dan Agensi-agensi Penguatkuasaan Tahun 2022.

Hadir sama, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, Setiausaha MAPO Syuhaida Abdul Wahab Zen dan Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam Jabatan Peguam Negara, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim.

Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) telah menurun taraf kedudukan Malaysia sebagai ‘Tier 3’, dalam Laporan-Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang (Us Tip Report) 2021.

Menurut laporan yang dikeluarkan itu, kerajaan Malaysia tidak memenuhi standard minimum berdasarkan Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan 2000 (TVPA) AS.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, PDRM mempunyai strategi dalam usaha membanteras jenayah itu antaranya membanteras eksploitasi kerja paksa selari dengan 'US TIP Report'.

"Selain itu, kita juga akan memperkasakan pengurusan siasatan kes-kes yang melibatkan jenayah tersebut.

"Kita juga akan membanteras aktiviti penyeludupan migrain dalam negara serta meningkatkan tindakan di bawah jenayah terancang terhadap sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abd Jalil berkata, bagi kesalahan jenayah pemerdagangan orang pada tahun lalu, sebanyak 112 serbuan dijalankan melibatkan tangkapan seramai 228 orang.

"Hasil serbuan yang dijalankan seramai 448 orang berjaya diselamatkan serta memperoleh Perintah Perlindungan Sementara (IPO) manakala 119 daripadanya telah memperoleh Perintah Perlindungan (PO).

"Bagi kesalahan jenayah penyeludupan migran pada 2021 pula sebanyak 217 serbuan telah dijalankan dengan jumlah tangkapan 378 penyeludup membabitkan 1,873 migran.

"Sementara itu, sehingga Januari tahun ini, kita telah menjalankan 13 serbuan dengan 19 tangkapan. Seramai 37 orang telah diselamatkan serta memperoleh IPO. Dalam tempoh sama, sebanyak 24 serbuan telah dijalankan dengan 44 penyeludup ditangkap membabitkan 231 migran," jelasnya.

Abd Jalil berkata, menerusi Ops Benteng yang dijalankan sebelum ini, pihaknya turut mendapati antara migran yang menceroboh pintu sempadan negara adalah dari Indonesia dan pelarian Rohingya.

"Kebanyakan mereka menggunakan laluan laut untuk masuk secara haram ke negara ini. Ketika pandemik, pintu sempadan negara ditutup dan ramai yang memasuki negara melalui lorong tikus melalui laluan laut.

"PDRM memberi amaran kepada sindiket yang terlibat dengan jenayah ini supaya tidak cuba untuk menceroboh sempadan negara kerana kita akan memastikan mereka ini akan dikenakan tindakan tegas sekiranya ditahan," katanya.