Kemudahan akses buat OKU dapat bantu tingkat kualiti hidup: Ras Adiba

Ras Adiba
Ras Adiba
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemudahan sesuai yang membantu akses orang kurang upaya (OKU) akan dapat mewujudkan pergerakan yang lebih bebas, integrasi sosial, serta peluang kepada mereka untuk hidup lebih berdikari dalam komuniti, di samping meningkatkan kualiti hidup mereka, kata Presiden OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi.

Beliau berkata, seluruh aspek hak asasi manusia dan kebebasan asas, termasuk keperluan khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik, perlu dihormati dalam sebuah negara yang sedang bergerak kehadapan sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang inklusif.

"Dalam sebuah Keluarga Malaysia yang menyediakan akses untuk semua, orang ramai boleh menjaga diri sendiri dan hidup lebih berdikari. Ini akan menyokong penuaan aktif, sekali gus mengurangkan beban terhadap kos bagi penjagaan khas, yang akan memanfaatkan semua peringkat masyarakat,” katanya semasa pelancaran mesin layan diri mampu akses di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri dekat sini.

ATLAS Vending dengan kerjasama OKU Sentral melancarkan siri pertama mesin layan diri mampu akses bagi memenuhi keperluan OKU, dengan KPJ Healthcare Berhad sebagai rakan eksklusif hospital, sempena Hari Kerusi Roda Antarabangsa.

"Saya harap hospital atau pusat-pusat perkhidmatan yang lain turut mempunyai ‘accessibility’ sebegini untuk memudahkan urusan mereka yang kelainan upaya," kata Ras Adiba, yang juga pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

OKU Sentral dipilih sebagai rakan usaha sama dalam memberi nasihat dan menyemak mesin-mesin berkenaan bagi memastikan ia memenuhi keperluan khas OKU.

Ciri-ciri istimewa pada mesin layan diri itu termasuk butang-butang yang diletakkan 60cm dan 95 cm dari aras tanah, ruang syiling 26cm yang berbeza daripada slot syiling biasa, serta ruang dispens yang berada kira-kira 60 cm dari aras tanah, seperti yang diluluskan oleh OKU Sentral.

Mesin layan diri mampu akses itu kini boleh didapati di Hospital KPJ terpilih serta di Bengkel Daya Klang dan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan, Bangi, yang merupakan kemudahan latihan untuk OKU. - Bernama

Artikel Berkaitan: