Rundingan Rusia-Ukraine tiada kata putus, rancang pusingan kedua

Delegasi Rusia (barisan kiri) dan delegasi Ukraine mengadakan rundingan selama hampir lima jam pada Isnin. - Foto: Agensi
Delegasi Rusia (barisan kiri) dan delegasi Ukraine mengadakan rundingan selama hampir lima jam pada Isnin. - Foto: Agensi
A
A
A

MOSCOW - Perunding Rusia dan Ukraine merancang pusingan rundingan baharu selepas pertemuan pertama di sempadan Belarus pada Isnin.

"Delegasi tersebut telah kembali ke ibu kota masing-masing untuk perundingan dengan pemerintah. Sesi dialog kedua dijangka berlangsung tidak lama lagi," kata wakil perunding dari Kiev, Mikhailo Podolyak.

Sementara itu, Ketua Delegasi Rusia, Vladimir Medinsky mengesahkan mereka sepakat untuk memastikan usaha rundingan itu diteruskan.

Ketika proses damai itu, Moscow dan Kiev dikatakan telah mencapai persetujuan terhadap beberapa perkara dan tujuan utama pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan tentang pelaksanaan gencatan senjata di Ukraine.

"Kami mengenal pasti beberapa isu utama dengan penyelesaian tertentu yang telah digariskan," kata Podolyak.

Rundingan tersebut yang berlangsung selama hampir lima jam diadakan di kawasan Rusia-Ukraine yang bersempadan dengan Belarus.

"Lokasi rundingan seterusnya adalah di kawasan sempadan antara Minsk dan Poland. Ia mungkin berlangsung dalam tempoh beberapa hari akan datang," ujar Medinsky dalam satu kenyataan.

Difahamkan, delegasi Ukraine diketuai oleh Menteri Pertahanan, Alexey Reznikov yang mengemukakan tuntutan utama berhubung pelaksanaan gencatan senjata segera dan pengunduran pasukan tentera Rusia dari negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menzahirkan keraguan beliau terhadap kejayaan proses rundingan itu, namun pemimpin tersebut melihat ia sebagai peluang kecil untuk meredakan konflik bersama Moscow. - Agensi