Perak tambah baik sistem saliran padi di Kerian

Razman (depan, tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Bilik Pameran DJI Agriculture di Taman Bagan Seri Maju 1, pada Isnin.
Razman (depan, tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Bilik Pameran DJI Agriculture di Taman Bagan Seri Maju 1, pada Isnin.
A
A
A

BAGAN SERAI - Perak sedang merancang menambah baik sistem saliran ke sawah bagi kawasan jelapang padi di Kerian dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil padi.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, kawasan jelapang padi di daerah Kerian berdepan masalah paras tali air rendah berbanding sawah.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pesawah terpaksa mengepam air masuk dari tali air ke dalam petak sawah bagi memastikan keperluannya mencukupi.

"Kami minta supaya projek penambahbaikan ini dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia memandangkan ia melibatkan kos tinggi. Projek ini akan melibatkan pembinaan saliran air yang boleh digunakan untuk petani meningkatkan kekerapan penanaman padi.

"Disebabkan sistem pengairan yang tidak cukup dan sebagainya, kadang-kadang selepas satu musim terpaksa berehat dua hingga tiga bulan disebabkan jadual pengairan. Jadi, dengan adanya penambahbaikan sistem pengairan dan pertambahan air, kemungkinan boleh capai lima kali untuk dua tahun," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Bilik Pameran DJI Agriculture di Taman Bagan Seri Maju 1, di sini pada Isnin.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Syarikat Aeros Geotech Sdn Bhd, M Sirenjivee dan Pengarah Urusan, Sanyeong Agricultural Solution Sdn Bhd, Jeff Chan.

Sementara itu, Razman berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan penggunaan teknologi terkini seperti dron dalam sektor pertanian.

Menurutnya, penggunaan teknologi seperti dron dapat membantu petani mengurangkan kos pembajaan dan meracun berbanding secara manual.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pelaksanaan kerja-kerja di sawah mahupun ladang dapat dilakukan dengan pantas sekali gus meningkatkan produktiviti petani.

Beliau berkata, teknologi dron itu juga mampu menarik minat generasi muda untuk terlibat dalam bidang pertanian.