Konflik Ukraine-Rusia jejas usaha cerdaskan pemulihan ekonomi global

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Konflik antara Ukraine dan Rusia sudah pasti akan menjejaskan usaha untuk mencerdaskan pemulihan ekonomi global, termasuk Malaysia, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, sebarang konflik pastinya akan memberi kesan kepada ekonomi global dan ia tidak membantu mana-mana negara untuk bergerak ke arah pertumbuhan ekonomi yang positif.

"Oleh sebab itu, Malaysia sentiasa mengambil pendirian untuk menganjurkan perdamaian dan penyelesaian secara bersama.

"Malaysia telah membuat pendirian dan situasi di Ukraine, kita berharap akan ada satu penyelesaian yang efektif demi perdamaian dunia dan juga ekonomi global,” katanya selepas majlis resepsi Sambutan Tahun Baharu Cina di Menara MITI pada Isnin.

Mohamed Azmin berkata, perdamaian itu penting memandangkan Rusia bukan sahaja antara kuasa ekonomi yang penting untuk Malaysia tetapi juga banyak negara lain di dunia yang masih dalam proses pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19.

Katanya, Malaysia bukan sahaja mempunyai hubungan perdagangan dengan Rusia, malah hubungan rakyat kepada rakyat termasuk dalam bidang pendidikan dan beberapa industri lain seperti sektor aeroangkasa.

Mengenai sasaran dagangan negara untuk mencapai RM2 trilion pada 2022, Mohamed Azmin berkata, Malaysia sebagai sebuah negara dagang perlu mencari penyelesaian atau usaha lain yang lebih proaktif bagi menepis kesan daripada konflik antara Ukraine dan Rusia.

Katanya, antara usaha yang diambil Malaysia adalah dengan menjadi anggota perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) secara rasminya pada 18 Mac, 2022 ini.

Artikel Berkaitan:

"RCEP mewakili satu per tiga daripada perdagangan dunia. Saya percaya ini akan memberikan ruang dan peluang kepada pemain industri tempatan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka dalam kalangan anggota RCEP kerana pasaran di Malaysia ini kecil, maka pasaran yang akan kita nikmati melalui keanggotaan ini jauh lebih besar.

"Selain itu, kita juga dapat menikmati tarif yang rendah atau tidak ada tarif langsung. Maka, ini adalah peluang yang terbaik untuk kita meningkatkan nilai eksport negara,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, prestasi perdagangan Malaysia pada 2021 buat pertama kalinya telah mencatatkan pencapaian cemerlang melebihi RM2 trilion dengan jumlah eksport bernilai RM1.24 trilion, mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 empat tahun lebih awal. - Bernama