Dua tahun curi air, kilang pembersihan tangki diserbu

SPAN menunjukkan saluran paip haram yang dibina oleh premis berhampiran untuk mendapatkan bekalan air terawat secara haram sejak November 2020.
SPAN menunjukkan saluran paip haram yang dibina oleh premis berhampiran untuk mendapatkan bekalan air terawat secara haram sejak November 2020.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu sebuah kilang pembersihan tangki kimia di Taman Industri Pulau Indah, di sini yang didakwa membuat penyambungan bekalan air haram sejak November 2020.

Eksekutif Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Ida Murni Marlina Ali berkata, serbuan dibuat ke premis berkenaan pada Isnin selepas mendapat aduan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkenaan kegiatan terbabit.

Menurutnya, hasil operasi mendapati pengusaha kilang tersebut melakukan dua sambungan secara terus daripada paip utama milik Air Selangor dengan menggunakan paip jenis HDPE berukuran 50 milimeter (mm).

Ida Murni Marlina berkata, sekitar 193,00 meter padu air dicuri oleh premis terbabit dengan nilai kerugian berjumlah RM450,000 sejak November 2020.

"Sambungan dari paip poli tersebut bertujuan mendapatkan bekalan air bagi menampung aktiviti harian kerja-kerja pembersihan tangki bahan kimia untuk pasaran antarabangsa dan pekerja mereka.

"Semakan oleh Air Selangor juga mendapati premis berkenaan tidak mempunyai sebarang meter air serta akaun bekalan air yang sah dan berdaftar, malah hasil ujian klorin di tapak juga mengesahkan bahawa bekalan air yang diperoleh merupakan air terawat milik Air Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di tapak operasi pemotongan paip haram berhampiran kilang tersebut di Taman Perindustrian Pulau Indah, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Ida Murni Marlina berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah peruntukan Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak SPAN.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 123(3) dalam akta sama.

"Operasi penguatkuasaan SPAN diharapkan dapat meningkatkan kesedaran awam tentang kesalahan kecurian air dan penyambungan tidak sah, sebagai salah satu usaha bagi mencegah kegiatan tidak bertanggungjawab ini.

"Jadi, SPAN ingin memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan kes-kes yang disyaki melakukan kecurian kepada SPAN secara WhatsApp ke talian 013-388 5000 atau e-mel ke aduan@span.gov.my.," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ida Murni Marlina berkata, sebanyak lima operasi penguatkuasaan dilaksanakan sejak awal tahun ini membabitkan kegiatan sama menerusi rondaan yang dibuat oleh pegawai penguat kuasa (task force) Air Selangor.

Katanya, kebanyakan kes telah dibuka kertas siasatan di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).