Sarang penagih di 125 Felda, 222 PPRT digempur: Ayob Khan

Ayob Khan (tiga, kiri) menunjukkan sebahagian barang rampasan Operasi Tapis Khas Siri Dua ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, pada Ahad. - Foto Bernama
Ayob Khan (tiga, kiri) menunjukkan sebahagian barang rampasan Operasi Tapis Khas Siri Dua ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lokasi penagihan dadah di 125 penempatan rancangan Felda dan 222 kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) digempur dalam serbuan Ops Tapis Khas Siri 2 di seluruh negara sepanjang tempoh tiga hari bermula 23 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi bagi menangkap tokan dan memusnahkan 'port' penagihan dadah ini berjaya menahan 3,668 individu termasuk 156 wanita berusia lingkungan 14 hingga 60 tahun.

Menurut Ayob Khan, polis turut menahan seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan enam pelajar sekolah kerana memiliki serta positif dadah.

"Selain itu, siasatan lanjut mendapati seramai 572 orang adalah tokan, penagih (1,850 orang) dan 185 adalah orang dikehendaki.

"Operasi ini berjaya merampas 745.93 kilogram (kg) dan 283.60 liter pelbagai jenis dadah serta satu pokok ganja bernilai kira-kira RM10.38 juta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada Isnin.

Ayob Khan berkata, turut dirampas sepanjang operasi itu adalah sepucuk pistol tiruan, dua laras senapang patah, selaras senapang angin serta 35 butir peluru.

Tambahnya, JSJN juga menyita wang tunai RM159,786, barang kemas (RM18,846), 22 buah kereta (RM553,200), 52 buah motosikal (RM276,600) serta topi keledar jenama Shoei (RM700).

Tegas Ayob Khan, isu penagihan dadah di PPRT dan Felda bukanlah kes baharu kerana trend hari ini menunjukkan peningkatan tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ini menerima maklum balas baik daripada masyarakat dan JSJN akan ada lagi sasaran baharu untuk tangani isu ini. Saya seru masyarakat untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk bersama membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah," katanya.