Rumah tidak terjual boleh jadi beban ekonomi

Gambar kecil: Ahyat
Gambar kecil: Ahyat
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk melihat kembali projek perumahan yang tidak terjual dalam usaha pemilikan rumah dalam kalangan B40 dan M40, sekali gus menjadikan sasaran Satu Keluarga Satu Rumah dapat direalisasikan.

Penganalisis hartanah, Ahyat Ishak berkata, rumah yang tidak terjual di seluruh negara boleh menjadi satu beban kepada ekonomi kerana ia tidak dapat dijadikan hasil ekonomi kembali, terutamanya kepada pemaju.

Menurutnya, pemaju perlu melepaskan unit-unit yang tidak terjual ini supaya mereka boleh terus membayar hutang dengan pembiaya dan dapat menggunakan duit itu untuk membeli tanah baharu atau membina rumah yang lebih relevan kepada permintaan rakyat hari ini.

“Cadangan itu boleh dilaksanakan, namun akan wujud beberapa isu memandangkan unit-unit rumah ini bukan dimiliki oleh kerajaan dan ia dibina pemaju.

“Sebahagian besar pemajunya adalah pemaju swasta dan mereka ada kepentingan atau matlamat yang berbeza dengan pemaju yang ada kaitan dengan kerajaan Persekutuan atau negeri.

“Jadi, bolehkah kerajaan ‘memaksa’ atau meletakkan syarat kepada mereka untuk mempermudahkan projek-projek yang akan datang atau memberikan insentif, pengecualian atau pemansuhan mana-mana syarat pembinaan atau projek-projek akan datang. Itu mungkin kerajaan boleh aturkan,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebelum ini memaklumkan, terdapat 30,358 unit rumah dikategorikan sebagai tidak terjual dengan nilai keseluruhan berjumlah RM19.789 bilion.

Daripada jumlah ini, sebanyak 7,743 unit atau 25.5 peratus adalah rumah mampu milik, iaitu bernilai RM300,000 dan ke bawah dan selebihnya adalah rumah dengan harga melebihi RM300,000.

Artikel Berkaitan:

Ahyat yang juga Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah berkata, rata-rata rakan seperjuangan dalam industri, pembeli dan rakyat gembira dengan sasaran Satu Keluarga Satu Rumah, namun pada masa sama mengharapkan agar pengumuman itu disusuli dengan hasil dan pelaburan yang jelas.

“Saya melihat usaha yang dibuat kerajaan ini sangat bagus kerana meletakkan fokus bagaimana ingin memastikan rakyat memiliki kediaman sendiri,” ujar beliau.