Timbang tindak balas jika EU terus diskriminasi minyak sawit

Dr Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri Ketujuh Bilangan 2 Tahun 2019 di Bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
Dr Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri Ketujuh Bilangan 2 Tahun 2019 di Bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan menimbang tindakan balas terhadap Kesatuan Eropah (EU) sekiranya ia meneruskan langkah tidak adilnya terhadap minyak sawit, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju Malaysia perlu mengambil pendekatan lebih agresif dalam perkara ini.

"Malahan, kita telah menulis surat kepada semua ketua kerajaan EU dan memaklumkan kepada mereka bahawa kita mungkin perlu bertindak balas sekiranya mereka meneruskan diskriminasi terhadap minyak sawit,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah, di sini, hari ini.

Dilaporkan pada Jumaat bahawa Malaysia akan menimbang mengambil tindakan balas terhadap eksport Eropah sekiranya EU meneruskan hasratnya untuk melaksanakan Akta Perwakilan (Delegated Act) bagi menghentikan secara berperingkat dan melarang penggunaan sawit dalam biodiesel.

Pada Januari, Perdana Menteri telah menghantar surat kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron, dengan menyatakan bahawa Malaysia akan menimbang undang-undang untuk mengehadkan produk Perancis sekiranya Paris tidak menarik balik rancangan untuk melarang penggunaan biodiesel sawit.

Pada 19 Disember tahun lepas, penggubal Perancis mengundi untuk menghapuskan minyak sawit daripada skim biofuel negara itu bermula Januari 2020.

Menerusi surat beliau kepada Macron, Dr Mahathir menyatakan bahawa sekiranya Perancis meneruskan cadangannya untuk melarang penggunaan minyak sawit dalam biodiesel, Malaysia terpaksa menangguhkan rundingan perdagangan bebas dengan EU dan mengenakan sekatan yang sama terhadap eksport Perancis.

Cadangan Akta Perwakilan EU itu yang dijadual dibentangkan di Parlimen Eropah pada April 2019 - adalah tambahan kepada Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU II untuk mengehadkan dan melarang biofuel minyak sawit sama sekali menjelang 2030. -Bernama

Artikel Berkaitan: