Kejadian kereta hanyut, tiada mangsa terlibat

Tangkap layar video kejadian kereta dihanyutkan arus di Kampung Sungai Mas,Sungai Lembing yang tular di Facebook.
Tangkap layar video kejadian kereta dihanyutkan arus di Kampung Sungai Mas,Sungai Lembing yang tular di Facebook.
A
A
A

KUANTAN - Kejadian sebuah kereta dihanyutkan arus yang tular di laman sosial Facebook dilaporkan berlaku di Kampung orang asli Sungai Mas,Sungai Lembing di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata,berdasarkan maklumat, dalam kejadian itu, sebuah lagi kereta dan sebuah motosikal milik penduduk turut dihanyutkan.

Menurutnya, tiada mangsa yang terlibat dan tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian setakat ini.

Video berdurasi 32 saat yang tular di laman sosial Facebook menunjukkan sebuah kereta dipercayai jenis Proton Iswara dihanyutkan arus.

Kejadian dipercayai berlaku ketika beberapa kawasan di sekitar Sungai Lembing dinaiki air pada pagi Ahad ekoran hujan berterusan sejak dua hari lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sungai Lembing, Muhammad Ridzal Sukimi berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan kawasan pekan Sungai Lembing dilanda banjir kilat pada Ahad.

Menurutnya, air naik kira-kira jam 6 pagi dan surut sepenuhnya kira-kira jam 10 pagi.

"Air sungai ketika ini masih tinggi dan bertahan. Sekiranya hujan lebat berterusan kembali turun, besar kemungkinan air sungai Lembing akan melimpah dan membanjir kawasan ini," katanya ketika dihubungi.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Ridzal berkata, tiada pusat pemindahan sementara dibuka dan tiada mangsa dipindahkan setakat ini.