Banjir di Pantai Timur akibat luruan monsun

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Bencana banjir yang melanda negeri di Pantai Timur ketika ini disebabkan luruan monsun atau luruan udara sejuk serta adanya sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan.

Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, walaupun ia perkara biasa, namun dari segi iklimnya, negara masih berada dalam fenomena La Nina yang sering dikaitkan dengan peningkatan hujan.

Menurutnya, ia akan membawa kepada lebihan 10 hingga 20 peratus hujan, yang mana ia akan merangsangkan lebih banyak luruan monsun ini.

“Apa berlaku kini adalah banyaknya luruan udara sejuk yang merangsang lebih banyak hujan dan luruan monsun. Kesannya, berlaku banyak hujan khususnya di kawasan Pantai Timur.

“Banjir akan berlaku apabila hujan yang banyak dan berlaku dalam tempoh lama. Apa yang kita hadapi adalah apabila berlaku luruan sejuk sampai 48 jam hingga 72 jam, air akan banyak.

“Apabila berlaku banyak hujan, ia akan turun ke sungai tapi jika sungai cetek atau air tidak boleh masuk ke dalam tanah, boleh berlakunya banjir kerana sungai yang ada tidak mampu menampung limpahan air,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi banjir yang berlaku di beberapa buah negeri berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Mengulas lanjut, Azizan berpandangan banjir kali ini lebih terarah kepada Pantai Timur berdasarkan situasi semasa dan ia dijangka tidak merebak ke kawasan Lembah Klang.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meminta penduduk di kawasan berisiko banjir untuk sentiasa waspada dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diminta untuk berpindah.

Ia berikutan cuaca mendung dan hujan sejak dua hari lalu yang mungkin mengakibatkan kejadian bencana alam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) turut memaklumkan kejadian hujan berterusan (bahaya, buruk dan waspada) akan melanda sehingga Sabtu (hari ini) di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor.

Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama, kedua dan ketiga untuk perkapalan di perairan Laut China Selatan berkuat kuasa hingga 28 Februari ini.